Beri masa peniaga solat Maghrib

TUMPAT – Pasar malam di daerah ini menjadi lokasi persinggahan ‘street dakwah’ dalam usaha mempergiatkan Kempen Stop Niaga 15 minit serta mengedar notis larangan menjual ketika azan Maghrib untuk memberi laluan kepada peniaga mengerjakan solat.

Pengerusi Pembangunan Islam, Belia dan Kebajikan Majlis Daerah Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian berkata, ia dilaksanakan sebagai pemantauan serta merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahu peniaga Islam tidak abaikan solat ketika mencari rezeki.

“Waktu Maghrib singkat, waktu itu jugalah pasar malam dipenuhi pengunjung.

“Kalau tidak dikuatkuasakan tutup kedai 15 minit, ramai yang tertinggal solat Maghrib,” katanya.

Mohd Hushaimi berkata, larangan itu akan dijalankan secara berperingkat dan setakat ini hanya melibatkan pasar malam Wakaf Bharu, pasar malam Tumpat dan terbaharu di pasar malam Kampung Laut.

“Pihak kami telah berusaha menyediakan kemudahan tempat solat dan wuduk untuk keselesaan mereka.

“Dengan terlaksananya pendekatan ini kita dapat mengumpulkan peniaga dan pengunjung untuk solat Maghrib berjemaah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan berada di satu-satu tapak pasar malam selama dua bulan bagi memastikan arahan itu terlaksana.

Katanya, pada masa sama, pihaknya berusaha untuk mengesan peniaga yang berkemampuan mengendalikan solat berjemaah sendiri.

Program Street Dakwah itu turut disertai Ketua whip MDT, Adanan Hasan, penguat kuasa MDT dan Unit Amal Tumpat yang turut membantu mengedarkan notis larangan. [SINAR HARIAN]

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment