Beri ruang pelukis berkarya

KOTA BHARU – Kerajaan negeri akan menyediakan ruang yang lebih besar dan berpotensi kepada pengkarya-pengkarya seni tempatan mencurahkan idea kreatif mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, sebelum ini bagi menghargai pelukis tempatan Balai Seni Lukis diwujudkan walaupun agak terhad ia amat membantu.

“Kita cuba sediakan ruangan yang lebih baik pada masa hadapan, sedang merancang, mengenal pasti tempat yang sesuai, bukan hanya untuk seni lekis malah elemen-elemen tarikan pelancong lain juga akan diangkat.

“Kita akan terus memberi sokongan kepada anak-anak seni yang banyak membantu dalam mempromosikan secara tidak langsung keindahan di negeri ini. Peruntukan kepada mereka juga mungkin akan lebih dari biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis pelancaran pameran lukisan Program Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) masjid-masjid di Kelantan bertempat di Balai Seni Lukis di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Seni Lukis Kelantan (Peseni), Muhamad Jusoh.

Pameran bermula semalam dibuka kepada orang ramai sehingga Januari tahun depan mengumpulkan 68 karya seni visual masjid hasil pelukis tempatan dan ahli Peseni.

Md Anizam berkata, tema pameran agak unik kerana memilih seni visual masjid di mana amat jarang untuk diketengahkan di tempat lain dan Kelantan mempeloporinya.

“Kita mahu mengetengahkan keunikan seni bina masjid-masjid tersohor yang dibina sejak sekian lama seperti Masjid Kampung Laut, Masjid Tok Selehor Tumpat kepada pelancong domestik dan luar negara selain menarik lebih ramai orang kepada masjid,” katanya.

Sementara itu, Muhamad berkata, Peseni amat berbangga kerana diberi peluang menjayakan pameran itu dalam mempersembahkan keindahan masjid di negeri ini melalui seni visual karya asli.

“Kita memang aktif dan lapangan ini selain menganjurkan pameran sendiri, Peseni juga rancak menyertai aktiviti di Balai Seni Lukis Negara selain terbabit dalam aktiviti kesenian lain.,” katanya.[SINAR HARIAN 16 DISEMBER 2015]

(Visited 12 times, 2 visits today)

Add Comment