KOTA BHARU – Bomba dan Penyelamat Kelantan menggalakkan penglibatan kakitangannya menyertai program World #QuranHour yang akan berlangsung pada jam 9 pagi hingga 10 pagi pada 11 September ini.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, sebanyak 17 balai Bomba dan Penyelamat di negeri ini yang boleh memberi kerjasama menjayakan program keagamaan berkenaan.
“Usaha ini dilihat sangat mulia kerana memartabatkan al-Quran sebagai panduan sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha yang boleh mempertingkatkan lagi ibadah dalam kalangan peserta World #QuranHour.
“Bagi memberi sokongan ini, kita turut menggalakkan 15 kakitangan bersama jenteranya supaya mereka turut menghadiri program World#QuranHour yang diadakan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dengan memakai seragam celoreng Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Turut hadir dalam perbincangan itu, Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.
Azmi berkata, pada hari berkenaan, biarpun sudah bercuti, kakitangannya akan menggerakkan pengajian al-Quran dengan membaca dan memberi tazkirah agama kepada setiap surau yang ada di balai bomba.
“Surat arahan sudah pun dikeluarkan bagi memberi makluman kepada kakitangan di seluruh Kelantan dan kita akan turut mengimarahkan usaha ini yang dijangka menjadi sejarah kepada setiap penyertaannya,” katanya.
Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berharap program tersebut memberi manfaat bukan sahaja kepada kakitangan, malah kepada seluruh umat Islam amnya.- WARTAWAN SINAR HARIAN 6 SEPTEMBER 2016