BUKIT MERBAU BAKAL JADI MADINATUL AL-RIADHAH MULAI 2021

oleh Norzana Razaly

Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan cadangan Pembangunan Madinatul Al-Riadhah Bukit Merbau (Kompleks Sukan) di Mukim Bukit Merbau, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, Kerajaan Kelantan amat serius terhadap kemajuan sukan negeri dan sangat bersyukur dipilih sebagai tuan rumah kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) siri ke-22 pada tahun 2024.

Buktinya, penyediaan pelan serta rancangan untuk membina kompleks sukan yang dilengkapi kemudahan sukan termasuk beberapa lokasi utama kejohanan akan dibina di kawasan tersebut termasuklah cadangan mewujudkan sekolah sukan di kawasan berkenaan bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan sukan.

“Ini adalah satu kompleks sukan baharu dan pertama di Negeri Kelantan. Pembinaan ini melibatkan beberapa fasa bermula pada awal tahun 2021 dengan dilengkapi semua kemudahan sukan seperti Stadium Bukit Jalil.

“Spesifikasi komponen setiap jenis sukan terlibat akan dirujuk kepada Majlis Sukan Negara Malaysia dan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi memastikan pembinaan komponen kelak benar-benar memenuhi standard spesifikasi dan sesuai dengan anggaran kos”, katanya selepas Majlis Lawatan dan Penerangan Tapak Cadangan Pembinaan Madinatul Al Riadah di Bukit Merbau, Selising, Pasir Puteh bersama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau berterima kasih kepada Pengarah Bahagian Sosial, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Prof. Dato’ Dr Rujhan Mustafa yang sudi meluangkan masa turun padang dan mendengar penerangan terperinci oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Kelantan (Plan) TPr. Hassan Yaakob ketika meninjau tapak projek tersebut pada 15 Jun lalu.

Sehubungan itu, Pengarah MSN Kelantan, Muhammed Imran Mansoor juga menyatakan spesifikasi komponen akan dibincangkan bersama Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan komponen yang dibina memenuhi standard kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau mengakui, MSN amat teruja dengan perkembangan cadangan pembinaan kompleks sukan Madinatul Al Riadah. Cadangan pembinaan kompleks ini jelas menunjukkan kecaknaan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pembangunan sukan di negeri ini. Kemudahan serta infrastruktur sukan seperti gelanggang sukan utama bagi penganjuran Sukma di Kelantan pada tahun 2024 secara tidak langsung melonjakkan semangat para atlet yang akan dipilih mewakili Kelantan kelak.

“Kita amat berharap semoga kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peruntukan semaksimum mungkin bagi merealisasikan cadangan ini. Pihak MSN akan memastikan cadangan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada para atlet tetapi kepada seluruh rakyat Kelantan.

“Cadangan mewujudkan sekolah sukan di kawasan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk melahirkan generasi sukan yang akan mencipta nama bukan sahaja di dalam negeri malah di luar negeri. Perancangan teliti dan sistematik perlu dirangka dari sekarang untuk menarik minat penganjuran pelbagai kejohanan sukan selepas pembinaan nanti. Apa yang penting kita perlu lihat penggunaan selepas daripada penganjuran kerana kita tidak mahu ia akan menjadi gajah putih tanpa penggunaan optimum dan bermanfaat kepada banyak pihak”, hurainya.

Semoga pembinaan Madinatul Al Riyadah Bukit Merbau dan kompleks sukan di peringkat jajahan yang melengkapi infrastruktur sukan di Kelantan berjalan lancar sekali gus merancakkan lagi kepesatan pembangunan di Kelantan seiring dengan slogan Merakyatkan Membangun Bersama Islam bertonggakkan Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan.

(Visited 103 times, 1 visits today)

Add Comment