Cadang RM1.6B bantu 600K keluarga penoreh

KUALA LUMPUR: Rakyat dalam kalangan penoreh getah hari ini benar-benar lumpuh kesan penurunan harga pasaran getah yang beredar pada kadar RM2 sekilogram dan hanya memperolehi pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS – Kuala Krai) berkata, harga makanan dan perbelanjaan yang tinggi ketika ini telah mencengkam kehidupan para penoreh getah di mana kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga tidak menurunkan harga barang.

“Saya mencadangkan kepada kerajaan dasarilah, rasailah, selamilah kesakitan dan kemiskinan mereka dengan penuh jujur serta ikhlas. Anjuran saya rancangan kalau boleh naikkan harga lantai getah paling tidak para penoreh mendapat sekitar RM5 sekilogram bersih.

“Mungkinnya saranan ini berat bagi kerajaan, dengan sumber kewangan yang terhad, namun penoreh getah juga harus terus hidup dan mendapat pembelaan yang sewajarnya,” ujar beliau membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Perkara sama turut diutarakan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) yang menyatakan bahawa sekitar 600,000 keluarga penoreh getah menunggu tindakan kerajaan untuk menyelesaikan masalah penurunan harga komoditi getah hingga sangat tidak terkawal kini.

Beliau menggesa supaya pihak kerajaan mengemukakan kaedah dan langkah yang sangat konstruktif terhadap isu tersebut serta memohon supaya memperuntukkan dana khas negara berjumlah RM1.6 billion untuk membantu melaksanakan skim harga lantai kepada RM4 sekilogram.

“Jumlah itu tidak terlalu besar dibanding penerimaan manfaat seramai lebih kurang 600,000 keluarga penoreh getah. Saya memohon untuk bersama-sama kita menjadikan negara kita ini negara yang senantiasa menitikberatkan rakyat.

“Itu sebagai keutamaan untuk kita mempedulikan mereka sama ada mereka ini berada di bandar-bandar besar, di kampung-kampung, di pedalaman-pedalaman yang terpencil,” serunya. – HARAKAHDAILY 31/7/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/7598-cadang-rm1-6b-bantu-600k-keluarga-penoreh

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
72Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment