BACHOK: Program Cakna Rakyat yang diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan menjadi indikator penting bagi memperlihatkan sokongan rakyat.
Mengambil kira kepentingan program berkenaan, kerajaan negeri memberi anugerah kepada Dun yang berjaya.
Lima kriteria diambil kira dalam pemilihan anugerah Cakna Rakyat 2016 antaranya ialah persiapan menghadapi pilihan raya dengan dokumentasi lengkap.
Selain itu kemeriahan suasana, pengurusan program dan penyertaan Unit Peti Undi.
Mengambil kira faktor tersebut Manek Urai muncul sebagai juara dan layak menerima wang tunai sebanyak RM10,000 di samping cenderahati.
Tempat kedua dimenangi Dun Kadok dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta cendera hati dan ketiga RM5,000 dimenangi Dun Temangan.
Penyampaian anugerah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Insan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan sempena taklimat pembangunan insan dan anugerah Cakna Rakyat 2016 di sini, hari ini.
Manakala taklimat mengenai kit kesihatan dan sejahtera disampaikan anggota Exco Datuk Dr Ramli Mamat dan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Insan, Mohd Rafie Yusof pula menyampaikan taklimat pembangunan insan.
Hadir sama pada majlis itu wakil-wakil rakyat dan Penyelia Dun serta Penyelia Parlimen.
Rafie pula berkata tahun lepas 10 Dun tidak melaksanakan program Cakna Rakyat dan Bina Ummah termasuk disebabkan faktor banjir. – HARAKAHDAILY 6/2/2017