Cinta pada negara

MALAYSIA pasca PRU14 kelihatan semakin bersinar. Sebelumnya agak malap dengan keghairahan rakyat mengecam kerajaan lama yang seperti sudah putus teraju untuk mengawal kemurungan hidup rakyat.

Kini, selepas kerajaan baru dibentuk, negara kembali segar dan rancak. Rakyat di mana-mana sahaja begitu bersemangat untuk membina semula negara. Betullah, Wawasan 2020 semakin ghuyub ketika ia menghampiri garis hujungnya. TN50 nampaknya berkubur awal. Kini adalah Malaysia Baru.

Kalimat cinta negara kembali mengaum. Semangat patriotik sedang ditanam sungguh-sungguh oleh kerajaan baru agar rakyat seluruhnya menyokong pembinaan semula negara. Atau, dengan lebih tepat, menyokong negara yang akan dibina mengikut neraca dan acuan kerajaan PH yang baru.

PAS yang akan beraksi sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat kepada kerajaan baru ini pastinya diperhatikan gerak tindaknya sedari awal. Apa sikap dan pendirian PAS dengan perubahan-perubahan yang sedang diusahakan oleh parti pemerintah. Bagaimana PAS menafsirkan erti cinta pada negara?

Adalah elok jika kita melihat kepada pandangan umum Islam terhadap erti cintakan negara. Umum mengetahui bahawa cintakan negara adalah satu pengajaran agama selepas ianya adalah satu fitrah semulajadi setiap insan. Bagaimana cinta pada negara itu dikembangkan oleh agama?

Tiga ketandaan utama

Pada saat manusia dilahirkan, ketandaan pertama pada dirinya adalah sifat kemakhlukan dan kejadiannya. Dia adalah makhluk ciptaan Allah. Tanpa kehendak Allah, dia tiada di dunia ini. Kosong.

Selepas itu adalah ketandaan kedua iaitu sifat keanakan dan kelahirannya. Dia adalah seorang anak kepada ibu bapanya. Tanpa ibu, dia tidak akan lahir di dunia ini. Ibu adalah kehendak Allah untuk kelahiran setiap manusia.

Kemudian datang ketandaan ketiga iaitu tanah tumpah darahnya. Manusia akan hidup di tanah kelahirannya walaupun bumi ini luas terbentang. Dia perlukan jaminan keselamatan dan kesejahteraan untuk hidup bebas di bumi ini. Di situlah rezeki, umur, kehidupan dan masa depannya terjamin.

Justeru kewajiban pertama manusia adalah meneguhkan hubungannya dengan penciptanya iaitu Allah. Dia sesekali tidak boleh putus hubungan dengan Allah. Jika tidak, kehidupannya adalah bagai sebuah pemberontakan terhadap alam raya ini yang tunduk sujud sepenuhnya kepada Allah Rabbul Jalil. Dia terasing terbuang dalam hidupnya.

Kedudukan para rasul

Tetapi, oleh kerana kejahilan manusia telah menghalang mereka untuk berhubung dengan Allah, maka kehadiran para rasul alaihimussalam adalah amat penting. Para rasul bertugas sebagai tali hubung yang memberi ilmu pengetahuan agar manusia mengenali, seterusnya tunduk menyembah Allah.

Justeru selepas Allah, ketaatan kepada al Rasul adalah mendahului ibu bapa yang melahirkan. Nikmat beragama Islam yang menjadi satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah adalah sumbangan besar al Rasul yang tidak mampu dikurniakan oleh para ibu yang melahirkan. Walau bagaimanapun, hubungan seorang anak dengan ibu bapa adalah begitu mendasari. Islam mengangkat darjat ibu bapa di tempatnya yang tertinggi selepas Allah dan al Rasul.

Tanah air adalah nikmat Allah. Manusia pada hari pertama dilahirkan adalah anak kecil yang begitu daif. Ketika dia membesar dan semakin gagah, dia akan tetap juga mendapati betapa dia terlalu lemah untuk berhadapan kehidupan di dunia yang penuh kekerasan dan kejahatan. Justeru dia memerlukan kekuatan yang lebih besar daripada ibu bapa demi menjaga keselamatan dirinya.

Itulah tanah airnya. Itulah negaranya yang memberinya kewarganegaraan yang bererti satu jaminan keselamatan untuknya hidup aman dan terhindar daripada sebarang keburukan. Dengan adanya kewarganegaraan yang menjamin keselamatannya, dia boleh hidup mencari rezeki dan membina kehidupan dengan selamat di mana-mana sahaja yang dimahunya.

Keutamaan cinta

Maka dengan tertib di atas, adalah nyata perlanggaran mereka yang meletakkan cinta pada tanah air mengatasi cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga jika cintanya kepada tanah air mengatasi cintanya kepada ibu bapanya. Di mana tanah air tanpa ibu yang melahirkan?

Di dalam Islam, kejahatan pertama adalah syirik kepada Allah. Begitulah kejahatan-kejahatan seterusnya adalah diukur berdasarkan darjat ketinggian sesuatu itu di sisi Allah. Apa yang besar di sisi Allah, maka mestilah besar juga di sisi kita sebagai makhluknya.

Justeru adalah malang sekali kehidupan mereka yang cintanya berterabur mengikut nafsunya sendiri. Dia melanggar tata susila kehidupan yang pasti. Walaupun kelihatan bahagia, hakikatnya adalah kecelakaan yang menantinya di hujung nanti. Itulah kerugian terbesar hidup manusia.

Apabila anda memahami ini, maka adalah nyata betapa besarnya erti cintakan tanah air. Selepas Allah sebagai tuhan pencipta, kita adalah ibu kita, bumi tempat kita dilahirkan dan tempat kita mencari rezeki. Itulah sunnah Allah yang tetap.

Cinta al Rasul pada Mekah dan Madinah

Ketika RasuluLlah berhijrah meninggalkan kota Mekah, saat keluar dari tanah haram, baginda berpaling menghadap muka ke negeri tanah tumpah darahnya lalu mengalunkan bait-bait cinta rindu memuji kota Mekah. Begitu juga, diriwayatkan betapa baginda apabila mendengar berita mengenai Mekah, akan tampaklah riak rindu di wajah baginda kepada bumi Mekah.

Begitu juga, setiap kali pulang ke kota Madinah daripada medan jihad, saat memasuki sempadan Madinah, baginda akan melayangkan pandangannya ke ufuk Madinah sambil memegang kenderaannya tanda kerinduan dan kegembiraan dapat kembali ke tanah air tempat perjuangannya bersemi.

Negara adalah tempat terjaminnya keselamatan diri dan kehidupan. Oleh kerana Islam mengajar bahawa hidup ini adalah untuk Allah, maka keselamatan agama adalah di tempat pertama. Seorang muslim mestilah mempertahankan agamanya mengatasi segalanya.

Tanah air sebagai matlamat khilafah

Oleh kerana agama Islam dengan matlamat besar kekhalifahan manusia di muka bumi yang menjunjung Islam sebagai ‘addeen’ dan satu cara hidup yang mesti ditegakkan, maka wujudnya tanah air atau negara untuk Islam adalah satu kewajiban. Negara sifatnya adalah sebagai pengawal yang menjaga agama Islam. Tanpanya, matlamat kekhalifahan adalah terbengkalai.

Justeru cinta negara adalah selari dengan ajaran Islam. Ia terkandung sebagai misi ke arah menegakkan agama. Apabila cinta negara itu diikat dengan cinta pada diri dan agama, maka ia adalah cinta yang benar dan disyarakkan.

Sepertilah anda mencintai ibu bapa. Jika cinta itu adalah semulajadi dan tanpa diikat dengan kewajiban agama, maka ia adalah tanpa pahala. Bahkan jika ibu bapa menyeru kepada anti agama, maka mentaati mereka adalah terlarang dan haram walaupun cinta semulajadi itu adalah kekal dan disuruh.

Ta’assub dan ekstrimisme

Begitulah cinta pada negara. Ia adalah cinta semulajadi yang bersemi di hari pertama kelahiran anda di dunia. Tetapi cinta kepada negara mestilah dalam kerangka cinta agama. Negara adalah demi kedaulatan agama. Jika tidak, sifat kesemulajadian cinta negara adalah kosong tanpa pahala.

Bahkan acap kita melihat kecintaan melampau terhadap negara tanpa kepentingan agama. Ia telah bertukar menjadi satu perkara yang terlarang oleh agama. Ia adalah budaya ta’assub dan ekstrimisme yang terlarang. Saat itu, cinta pada negara adalah salah dan wajib ke atas setiap muslim untuk menarik diri daripadanya.

Hadis ‘Hubbul watani minal iman’ yang bermaksud ‘Cintakan tanah air adalah sebahagian daripada iman’ adalah hadis palsu (maudhu’). Walaupun sebahagian ulamak membenarkan maknanya, tetapi mereka mengikatnya dengan kepatuhan kepada syariat. Ertinya tiada kemutlakan bahawa cintakan negara adalah iman.

Sikap PAS

Pasca PRU14 adalah getir dengan jalan-jalan berliku membina Malaysia Baru. PAS mengambil sikap yang jelas bahawa pembinaan negara yang tunduk kepada agama adalah satu kewajiban. PAS akan terus menyumbang kepada kemajuan negara dengan jalan-jalan hidayat yang diredhai oleh Allah.

Sudah pasti ia akan berhadapan tentangan daripada mereka yang merancang untuk menjauhkan agama daripada negara. Wujudnya kumpulan sekularis liberal adalah nyata. Perseteruan mereka terhadap agama, apatah pejuangnya adalah nyata. Di tengah-tengahnya adalah pembantu masing-masing dan mangsa yang tumbang tanpa sedar.

Tipu daya adalah dunia persaingan. Cinta pada negara adalah milik semulajadi semua rakyat. Ia perlu dipupuk ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Jika tidak, ia akan kerugian yang nyata. Semoga Allah bersama para pejuang-Nya yang ikhlas dan benar.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Bachok

Sumber: FB Nik Mohamad Abduh

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment