Dana kepada SIS jelaskan ‘posisi’ Kerajaan PH

webmaster

SAYA merasa sesak dada melihat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa rakan bersungguh-sungguh mempertahankan bantuan kewangan yang telah diberikan kepada Sisters in Islam (SIS).

Alasan mereka konsisten; SIS telah berjaya menolong lebih 8,000 wanita yang dizalimi dan dianiaya. Mereka tidak kisah sama ada SIS ada isu dengan Islam atau tidak. Apabila ditekan mengenai isu fatwa Selangor berkaitan SIS, mereka masih mempertahankan perbuatan tersebut dengan alasan bidang dan skop kerja berkaitan keprihatinan wanita.

Inilah padahnya apabila kita menyerahkan posisi penting kepada mereka yang tidak bersedia untuk memahami kedudukan Islam di Malaysia.

Jika benar isu wanita menjadi alasan utama, mengapa ketika saya membangkitkan isu sumbangan terhadap NGO Wanita yang aktif melakukan konsultasi laktasi bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak kementerian mengatakan tiada peruntukan yang disediakan? Apakah perbezaan di antara NGO wanita yang ada berbanding SIS?

Jikalau benar ingin membantu wanita, mengapa tidak digesa untuk menambah peruntukan kewangan dan staf untuk Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang merupakan firma guaman kerajaan? Di mana JBG juga mengendalikan pelbagai kes guaman sama ada sivil atau syariah termasuk membantu pelbagai golongan wanita yang memerlukan. Bayaran yang dikenakan hanya RM10 sahaja.

Mereka ini pula terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing dan jelas dengan falsafah undang-undang yang dibawa. Tambahan pula, JBG bergerak atas dasar dan undang-undang yang jelas iaitu Akta Bantuan Guaman 1971 berbanding SIS yang telah jelas difatwakan haram.

Bagaimana mungkin Timbalan Menteri bersikap kurang sensitif dengan masyarakat Islam apabila mengiktiraf SIS yang membawa kes Mahkamah Syariah akan tetapi dalam masa yang sama mempersoalkan hukum Islam berkaitan faraidh, kuasa talak suami, dan lain-lain.

Saya berharap perkara ini sepatutnya membuka mata rakyat Malaysia yang selama ini mendambakan perubahan pucuk pimpinan yang lebih baik, tetapi akhirnya terpaksa berdepan dengan figura yang langsung tidak mengendahkan sensiviti dan kedudukan Islam di Malaysia.

Walau bagaimanapun, kita juga tidak boleh menyalahkan tindakan beliau seratus peratus, kerana terdapat juga orang Islam yang telah memberi ‘signal’ yang salah dan membuka ruang kepada SIS di Malaysia.

YB ASMAK HUSIN
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 31/3/2019

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/10434-dana-kepada-sis-jelaskan-posisi-kerajaan-ph

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Perakan kecam Pengerusi SPR

TUMPAT: Gara-gara mengaitkan rakyat Kelantan yang tinggal di Kuala Lumpur sebagai kaki kelab malam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun terus menerima kecaman. Terbaharu Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) akan menghantar memorandum bantahan kepada pengerusi SPR terbabit. Presiden Perakan, Ir Hamdzah Abd Rahman berkata, Jawatankuasa Teknikal Perakan sedang merangka […]

Subscribe US Now