PASIR MAS – Penduduk di Dun Tendong menyambut baik perlaksanaan projek dapur hijau yang diperkenalkan kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka.
Adun Tendong, Rozi Muhamad berkata, kawasan terbiar sekitar rumah penduduk kini dimanfaatkan dengan tanaman sayur seperti terung, bendi, bayam, dan kangkung.
“Alhamdulillah, dengan usaha ini, kita berjaya memberikan manfaat cukup besar kepada suri rumah.
“Mereka tidak perlu lagi mengeluarkan belanja untuk membeli sayur-sayuran,” katanya.
Katanya, ada beberapa peserta berjaya memasarkan lebihan hasil tanaman diusahakan kepada penduduk sekitar.
“Ini merupakan projek serampang dua mata yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat,” katanya.
Rozi berkata, sebagai galakan, setiap peserta diberikan biji benih untuk memulakan projek berkenaan.
Katanya, peserta turut diberikan kursus bagi memastikan tanaman diusahakan memberikan pulangan lumayan.
“Program ini juga secara tidak langsung berjaya mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.
“Ia merupakan satu bentuk riadah yang mampu memberi kesihatan kepada peserta terlibat.
“Selain itu, kita mahu memupuk konsep bertani satu ibadah yang merupakan satu daripada dasar kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, konsep tersebut bertepatan dengan ajaran agama yang mahu setiap pekerjaan dilakukan itu adalah ibadah.- SINAR HARIAN 5 MEI 2017