Dataran Ilmu, lokasi pertama Ikbar

webmaster

KOTA BHARU – Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan Dataran Ilmu di Jalan Datuk Pati, di sini, sebagai lokasi pertama pelaksanaan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (Ikbar) adalah bersesuaian dengan majlis-majlis ilmu yang sering diadakan di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, selepas Dataran Ilmu, pelaksanaan Ikbar akan diperluaskan di kawasan awam seperti stesen bas dan pusat rekreasi.

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan tempoh enam bulan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai usaha mendidik masyarakat dan memastikan negeri ini bebas asap rokok.

“Untuk permulaan, proses didikan yang digunakan lebih kepada bentuk nasihat dan memberi maklumat mengenai bahaya asap rokok kepada keluarga serta masyarakat sekeliling.

“Peringkat pertama adalah proses mentarbiah, antaranya melalui pameran dan perkongsian maklumat mengenai tabiat merokok yang boleh menyebabkan kanser serta masalah kesihatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ikbar Peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri berharap kesedaran dalam kalangan rakyat terutama golongan pelajar semakin meningkat dan mereka bebas daripada amalan yang merugikan ummah.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood memberitahu, melalui pelaksanaan Ikbar, kerajaan negeri akan mewartakan zon larangan merokok.

Menurutnya, dua zon dicadangkan bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu zon eksklusif dan zon inisiatif.

“Zon eksklusif melibatkan larangan merokok di dalam dan luar bangunan termasuk kaki lima serta jalan raya. Manakala zon inisiatif melibatkan larangan merokok di dalam bangunan meliputi kawasan diwartakan.

“Terdapat sebanyak 24 zon bebas asap rokok di negeri ini dan difahamkan semua peta-peta zon dicadangkan telah disemak dan diambil tindakan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Kelantan,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 17 daripada keseluruhan zon bebas asap rokok telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk proses pewartaan.

“Menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, kita telah mewartakan 21 premis atau kemudahan sebagai kawasan bebas asap rokok bagi melindungi kepentingan kesihatan orang awam dan menjaga hak bukan perokok.

“Sesiapa yang dijumpai menghisap rokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

STAM: 126 pelajar Yik cemerlang

KOTA BHARU: Seramai 126 pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) memperolehi keputusan cemerlang (mumtaz) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumum hari ini. Seramai 13 pelajar daripada jumlah tersebut memperolehi 10 Mumtaz semua mata pelajaran. Pencapaian pelajar Yik dalam STAM tahun ini meningkat kepada 67.46 peratus berbanding 62.97 peratus […]

Subscribe US Now