DEBAT ROYALTI PERJUANGAN YANG BELUM BERKESUDAHAN

webmaster

1. Bayaran terus Petronas kepada kerajaan negeri adakah bermakna selepas ini kita tidak boleh lagi bawa pertikaian ke Parlimen dan sebarang pertikaian dan ketidakpatuhan kepada jumlah bayaran tidak lagi boleh dipersalahkan kerajaan pusat. Kalau masih boleh debat di parlimen, maka kita sangat berterima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Tun M, walaupun barangkali di bantah LGE Menteri Kewangan.

2. Mengapa hanya dihadkan 10 medan minyak yang royaltinya tertangguh untuk dibayar kepada Kelantan walaupun sudah dibayar petronas kepada kerajaan pusat dengan alasan tiada sempadan laut antara negeri-negeri dan medan minyak tersebut kedudukannya melebihi 3 batu Nautika yang diikat oleh Akta Laut Wilayah 2012. Oleh kerana tidak diberi laluan mengemukakan soalan seterusnya, saya jangkakan 10 telaga minyak itu adalah di blok PM303.

3. Untuk makluman Akta Laut Wilayah pindaan 2012 yang menghadkan sempadan laut hanya 3 batu Nautika dikira daripada air surut telah ditolak oleh Dun Kelantan, maka sempadan laut Kelantan tidak terikat dengan kaedah ini. Menurut pakar perundangan juga Akta Laut Wilayah ini adalah bercanggah dengan perkara 2 perlembagaan persekutuan yang menetapkan seperti berikut :-
Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan Parlimen boleh melalui undang-undang—
(a) menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan;
(b) mengubah sempadan mana-mana Negeri,
tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja. Akta ini digubal dan diluluskan tanpa persetujuan Negeri dan Majlis Raja-Raja

4. Kalaulah sempadan laut dijadikan hujah baru untuk terus menari dan menangguhkan royalti mengapa negeri pengeluar lain Sabah, Sarawak dan Terengganu yang juga belum ada sempadan laut negeri masing-masing sebagaimana fakta yang disebut oleh Menteri tadi telah di lunaskan bayaran berbilion ringgit. Kalau 3 batu Nautika pula jadi hujah, adakah kesemua telaga minyak di Negeri-Negeri pengeluar selain Kelantan berada dalam radius 3 batu Nautika?

5. Bagaimana pula dengan kawasan Malaysia Thailand Development Joint Area (MTDJA) yang hasil gas dan minyaknya RM11, 138 Billion setahun, bagaimana pula blok PM301, blok PM302 Blok PM3. Kalau semua ini tidak termasuk dalam perkiraan royalti untuk Kelantan kemana perginya 5% bayaran Petronas untuk kerajaan negeri disimpan. Adakah juga masuk dalam akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD). Kalau ya berapakah pula jumlahnya?

6. Segala pertikaian angka-angka ini tidak akan berakhir selagimana kerajaan pusat mungkiri dan tidak jujur dalam menunaikan janji untuk membentangkan laporan tahunan Petronas di Parlimen.

7. Namun dalam pencelahan tadi sempat saya pohon penjelasan berdasarkan jawapan yang dibekalkan kepada saya hari ini berkaitan jumlah pengeluaran hasil gas dan petroleum di kawasan JDA. Menurut jawapan daripada menteri Hal Ehwal Ekonomi itu Gas Asli 383 billion kaki padu (383,000,000,000) setahun, harga 1 Kaki padu adalah RM26. Maka 383,000,000 mmbtu X RM26/mmbtu=RM9,958,000,000.00. Harga RM26/mmbtu tu diambil dari Kertas Penetapan Tarif Gas , 13 April 2017 oleh Suruhanjaya Tenaga.

8. Manakala Kondensat pula hasilnya 5,260,000 juta tong setahun. Harga satu tong USD52.51. Harga RM52. 51 per barrel x 5,260,000= USD276 juta atau RM1.18 billion sebab exchange 2017 average pada 4.299. Hasil gas campur hasil kondensat RM9. 958B+RM1.18B= RM11.138B

9. 5 % royalti hak Thailand dan 5% hak Malaysia jumlah setiap negara dapat RM5. 569 Billion. Kelantan yang diikat dengan perjanjian 1975 berhak mendapat 50% daripada 5% royalti itu maka jumlahnya sudah mencecah RM278.45 Juta setahun. Ini baru satu medan telaga minyak belum dikira blok dan medan lain lagi, jumlahnya jauh melebihi 28 juta yang dikatakan telah dibayar kepada Kelantan.

10. Kalau dihujahkan bahawa hasil royalti daripada kawasan ini tidak perlu dikongsikan dengan negeri kerana bukan diuruskan sepenuhnya carigali oleh Petronas dan tidak ada perjanjian dengan negeri hanya untuk Federal sahaja, maka ini satu lagi DISKRIMINASI kepada rakyat negeri pengeluar minyak sebagaimana di suarakan oleh MP Ranau-PH minggu lalu yang menuntut royalti juga dibayar 5% daripada hasil jualan syarikat carigali selain Petronas.

11. Namun sayangnya soalan-soalan saya ini tidak dijawab oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan mencadangkan berbincang dengan beliau di luar dewan, tetapi saya tetap bersangka baik kepadanya dengan menyimpulkan bahawa beliau kesuntukan masa.

Nampak gayanya debat royalti Kelantan tidak juga berkesudahan diera Malaysia Baru. Muafakat Nasional menjadi wadah taruhan, kepada Allah kita sandarkan dan harapkan. Terus berdoa pejuang royalti dan rakyat Kelantan.

Catatan Parlimen 4.30 petang 30/10/2019
Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa

Sumber: https://www.facebook.com/ybustazmarzuk/posts/775411672897737

 

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

REFORMASI STRUKTUR BAGI WANITA KELANTAN DALAM MENJANA KEGIATAN EKONOMI YANG LEBIH EFEKTIF

MEMBENTANGKAN kertas kerja bertajuk “Reformasi Struktur Wanita Kelantan Dalam Menjana Ekonomi yang Lebih Efektif” bersama empat orang lagi panel sempena Seminar Memperkasakan Ekonomi Wanita bertempat di UMK, Kampus Kota. Panel bersama YBhg Datuk Ir Siti Hamisah Tapsir (Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi), YBhg Datuk Dr Hafsah Hashim (Pengerusi Bukan Eksekutif […]

Subscribe US Now