KOTA BHARU: Kesedaran terhadap pendidikan agama hendaklah diberi penekanan bagi mengelak berulang gejala buli yang sering di sekolah sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata sudah sampai masanya keutamaan kepada pendidikan agama bagi mendidik jiwa pelajar mengelak perkara yang bertentangan amalan Islam.
“Sebab itulah kita tekan pendidikan agama bermula dari rumah lagi. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengambil berat anak-anak dan melapor segera kepada pihak sekolah sekiranya berlaku sesuatu yang agak pelik.
“Pihak sekolah pula mesti bertanggungjawab dan mengekang masalah ini daripada awal lagi,” katanya ketika mengulas insiden seorang murid darjah dua di Klang memotong lidah sendiri.
Mohamed Fadzli juga berkata kejadian menggunting lidah suatu yang salah dan tidak boleh diterima akal.
“Kita hendak serah kepada polis untuk ambil tindakan sewajarnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/3/2016