KOTA BHARU: Kelantan terus menaiktaraf sistem pendidikan di negeri itu yang berpaksikan pendidikan rabbani dengan usaha dilaksanakan kerajaan negeri.
Walaupun pencetus idea berkenaan sudah pergi meninggal dunia, tetapi usaha tersebut diperkemaskan lagi dibawah pentadbiran Datuk Ahmad Yakob.
Tokoh Akademik, Dr. Ann Wan Seng menganggap masalah ekonomi yang dihadapi oleh Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm) tidak boleh dijadikan penghalang untuk terus berjaya.Beliau berkata, Kuizm yang ditubuhkan pada tahun 2009 mempunyai prospek masa depan jika dinilai sudut visi, misi dan falsafah penubuhannya terutamanya aspek pembangunan modal insan.
“Sepatutnya masalah kewangan sepatutnya tidak melunturkan semangat kerana dalam perjuangan Islam tidak ada nama bersara atau pencen bahkan masalah ini boleh diatasi dengan sebaik mungkin.
“Saya mencadangkan kepada setiap Ahli PAS khususnya perlu memberi komitmen masing-masing dalam aspek kewangan bagi mengatasi masalah itu,” katanya pada Persidangan Pendidikan Tinggi Kelantan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kertas perbentangan Rektor Kuizm, Dr. Shahbudin Ngah bertajuk Dasar Pendidikan Tinggi Islam bagi Pengalaman Kuizm, mengenai cabaran institusi berkenaan.
Dengan kejatuhan ekonomi yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini menyebabkan banyak institusi pendidikan bukan sahaja di bawah kementerian malah swasta merasai kemelesetan tersebut.
Dr. Ann berkata, masyarakat cina sangat mementingkan pendidikan dengan menyalurkan bantuan peribadi tanpa mengharapkan bantuan kerajaan bagi menjaga kebajikan pendidikan mereka.
Jelas beliau, bukan sahaja PAS yang mempunyai institusi pendidikan rendah dan tinggi. Begitu juga parti lain seperti Malaysian Indian Congress (MIC) dan Malaysian Chinese Association (MCA).
MCA menubuhkan Universiti Open Wawasan dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar). Manakala MIC pula, Universiti Manipal yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, kata anak kelahiran Klang Selangor itu.
Selain itu, bagi mengatasi kewangan beliau mencadangkan supaya Kuizm menarik pelajar beragama Islam dari Tanah Besar China yang mempunyai 140 juta penduduk Muslim lebih besar Malaysia, 18 juta.
“China merupakan negara komunis walaupun hanya 10 peratus penduduk Islam. Kalau Orang Melayu pergi ke sana, mereka akan jadi muallaf pula. Atasi masalah dana dengan tarik mereka,” katanya. βHARAKAHDAILY 6/10/2016