Dun sembah tahniah pemilihan Sultan Kelantan

webmaster

KOTA BHARU – Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini meluluskan usul sembah tahniah dan junjung kasih atas pemilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Disember ini.

Usul yang diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan itu, dicadangkan Azami Md Nor (Pas-Kadok) pada persidangan yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Beberapa anggota dewan termasuk Datuk Hassan Mohamood (Pas-Tawang), Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dan Datuk Husam Musa (Amanah-Salor) mengambil bahagian berucap menyokong usul berkenaan.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu, telah memilih Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Disember ini, bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Md Alwi dalam ucapannya berkata, rakyat Kelantan bersyukur dan berbangga atas pemilihan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Kelantan bersatu hati untuk bersama-sama baginda terutamanya bagi mempertahankan Islam yang sedang menghadapi pelbagai cabaran.

Husam pula berkata, pemilihan Sultan Kelantan itu, akan membawa lebih banyak pembangunan di Kelantan termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, pelabuhan Tok Bali di Pasir puteh, dan projek tebatan banjir.

Sementara itu, pada sesi penggulungan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, seluruh rakyat mempersembahkan setinggi tahniah dan junjung kasih atas pemilihan Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, seluruh rakyat Kelantan bersyukur dan berbangga dengan pemilihan tersebut dan dengan bertakhtanya Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong maka besar harapan rakyat kepada baginda untuk menaungi negara ini dengan jayanya dan berpandukan syariat ALLAH SWT.‎

Beliau berharap, segala hak negeri Kelantan dapat dinikmati oleh semua rakyat dengan adilnya.

“Semoga sistem federalisme yang kita amalkan antara kerajaan negeri dan persekutuan dapat berjalan dengan lancar tanpa diskriminasi dan dipenuhi hak masing-masing atas kesaksamaan dan keadilan,” katanya. – Bernama

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Umno 'ganggu' Lebuhraya Rakyat

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan mendedahkan campur tangan politik daripada UMNO menjadi punca sebuah syarikat menarik diri daripada membina Lebuhraya Rakyat di Machang. Perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur,Utiliti dan Teknologi Maklumat, Dato’ Hanifa Ahmad ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Kemuning, Mohd Roseli Ismail dari PAS. Syarikat […]

Subscribe US Now