KOTA BHARU: Berdepan kekangan kewangan tidak membantut usaha kerajaan Kelantan menjaga kebajikan penghulu, apabila menaikkan elaun bulanan kepada RM900.
Malah kadar tersebut merupakan antara tertinggi di Malaysia, juga lebih tinggi berbanding elaun Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sebanyak RM800.
Elaun baru dinikmati penghulu di Kelantan dibayar mulai Julai lepas. Sebelum ini elaun mereka sebanyak RM600 sebulan sejak 2007.
Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Kelantan Jamaluddin Ishak (kiri) berkata selepas PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Oktober 1990, elaun bulanan penghulu dibayar sebanyak RM400.
Katanya di Kelantan terdapat seramai 790 penghulu mukim dan tanpa mukim termasuk wakil kaum mewakili masyarakat Cina, India, Siam dan Orang Asal.
“Penghulu terbabit juga termasuk 14 wakil PKR dan dua wakil yang pernah dicadang DAP. Kadar elaun baru tersebut diharap dapat menyuntik semangat mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Kadar elaun diambil kira dengan kos kehidupan yang semakin meningkat sekarang dan bebanan tugas penghulu,” katanya di sini.
Beliau juga berkata pelantikan penghulu di Kelantan dibuat secara kontrak dari setahun ke setahun.
Syarat pelantikannya pada peringkat pertama berusia antara 18 hingga 55 tahun. Malah pelantikan boleh disambung sehingga usia 60 tahun bagi yang berkhidmat cemerlang.
Dan sekali lagi boleh disambung sehingga usia 65 tahun dalam kes-kes tertentu dengan rayuan daripada pengurusan parti peringkat kawasan.
Jamaluddin juga berkata bagi memastikan penghulu lebih terbela Koperasi Penghulu Negeri Kelantan Bhd juga ditubuh bagi meningkatkan ekonomi mereka.
Selain itu setiap penghulu juga dicarum dalam skim takaful dengan bayaran sebanyak RM20 setahun. Mereka akan mendapat manfaat RM10,000 sekiranya meninggal dunia. – HARAKAHDAILY 7/12/2015