Empangan Bukit Kwong berisiko tutup

webmaster

image (1)RANTAU PANJANG – Empangan Bukit Kwong di Rantau Panjang berdepan risiko ditutup operasi jika paras airnya menurun sehingga 12.25 meter.

Penutupan empangan itu kelak akan memberi kesan kepada ribuan penoreh getah dan peladang kelapa sawit di seluruh Parlimen Rantau Panjang.

Sebelum ini cuaca panas menyebabkan periuk nasi golongan ini terjejas apabila sebahagian anak pokok getah dan sawit mati akibat kemarau.

Namun bagi golongan pesawah, nasib menyebelahi mereka memandangkan musim menuai padi sudah berakhir pada Mac lalu dan sebahagian besar tidak mengalami kerugian akibat cuaca panas,

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Shahimi Sharif berkata, sehingga jam 3 petang semalam, paras air di empangan itu berada pada 12.33 meter, iaitu di bawah paras normal, 16.76 meter.

Beliau berkata, penurunan paras air kesan fenomena El Nino kini turut mempengaruhi kedalaman air di empangan ini, iaitu hanya 0.1 meter.

“Keadaan sudah cetek sangat, agak kritikal tapi masih terkawal kerana air di sini bukan untuk keperluan isi rumah, sebaliknya bidang pertanian.

“Kali terakhir fenomena ini berlaku pada 2011 lalu atas faktor sama, akibat cuaca panas,” katanya.

Shahimi berkata, secara teknikalnya, ketinggian atau kedalaman sesuatu empangan adalah berpandukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Menurutnya, keadaan di sini masih terkawal malah jika berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, cuaca panas akan berakhir Jun ini.

Secara umumnya beliau berkata, bekalan air di sini dianggarkan dapat bertahan sehingga beberapa bulan akan datang.

 

Tangkapan ikan berkurangan

Penduduk, Abd Halim Ismail, 40, berkata, dia tidak pernah melihat paras air di empangan berkeluasan 11 kilometer persegi ini, menurun ke tahap kritikal.

Menurutnya, cuaca panas di sini menyebabkan bukan hanya air di empangan menurun, malah air perigi penduduk turut terjejas.

Katanya, penduduk terpaksa menggali semula perigi lebih dalam bagi mengelakkan gangguan bekalan lebih lama.

Abd Halim yang juga penjual ikan sungai berkata, El Nino menyebabkan tangkapannya berkurangan daripada 100 ikan baung sehari kepada hanya 30 ikan sehari.

“Bermula jam 6 petang setiap hari, saya letak bubu ikan dan mata pancing di celah-celah kayu. Selain ikan baung, saya juga dapat tangkap ikan jelawat, toman, sepat dan haruan,” katanya.

Abd Halim yang juga anggota Rela berkata, ikan baung adalah antara sajian mewah di sini, kerana harganya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.

 

Cabaran dapatkan bekalan air padam kebakaran

El Nino bukan sahaja menjejaskan sektor pertanian dan isi rumah, malah memberi cabaran kepada pasukan bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bekalan air sebagai persediaan memadamkan kebakaran hutan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya tiga panggilan kecemasan setiap hari.

Ini katanya tidak termasuk panggilan kecemasan bagi membantu pasukan penyelamat dari daerah lain.

Menurutnya, struktur muka bumi di parlimen ini yang dipenuhi hutan belukar, ladang serta sesetengah kawasan kering dan dipenuhi pokok mati meningkatkan lagi risiko kebakaran hutan.

“Kami harap penduduk dapat memberi kerjasama dengan tidak terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka.

“Malah kita juga memohon agar orang ramai bertindak pantas dengan menghubungi segera pihak bomba sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

-sinarharian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Perkhidmatan Bas Cityliner Dijangka Beroperasi Semula Esok

KOTA BAHARU – Perkhidmatan bas henti-henti Cityliner dijangka kembali beroperasi seperti biasa mulai esok selepas 19 laluannya dihentikan semalam. Jurucakap Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Transliner, yang menguruskan pengangkutan awam itu di Kelantan, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas Konsortium Transnasional Berhad memberi jaminan menyuntik dana bagi memastikan bas Cityliner dapat […]

Subscribe US Now