SHAH ALAM: Rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan kerajaan negeri Kelantan kelmarin tidak mempunyai kaitan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, justeru tidak timbul soal kononnya kerajaan negeri pimpinan PAS itu melangkaui Akta 355 yang masih belum di bahaskan di Parlimen apabila meluluskan pelaksanaan enakmen tatacara jenayah syariah di peringkat negeri.
“Akta 355 adalah untuk menaikkan hukuman tapi Seksyen 125 (di Kelantan) ini adalah bagaimana untuk melaksanakan hukuman,” katanya kepada Antarapos.
Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa Seksyen 125 (hukuman sebat) dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 memperincikan mengenai alat sebatan, pemeriksaan kesihatan terhadap pesalah sebelum disebat, serta cara dan syarat hukuman itu dijalankan.
Menurutnya, pindaan yang diluluskan terhadap Seksyen 125 baru-baru ini menyatakan secara spesifik tentang lokasi hukuman sebat dijalankan.
“Dengan pindaan ini ia mengatakan (sebatan) boleh dilaksanakan di tempat awam, di mana dalam seksyen 125 tempat (hukuman) tidak dinyatakan secara spesifik, sebab itu ada yang dilaksanakan di penjara, di mahkamah dan sebagainya.
“Tapi pindaan ini mengatakan ia perlu dilaksanakan di peringkat umum, khalayak awam,”ujar beliau.
Zainul Rijal menambah, pindaan bersabit hukuman sebat itu bukan isu besar ekoran ia dimaktubkan di dalam Al-Quran, di mana kerajaan Kelantan memilih untuk menjadikannya sebagai panduan.
Malah ujar beliau, sokongan sebulat suara kesemua wakil rakyat dalam DUN negeri berkenaan juga memberi gambaran bahawa ia sememangnya merupakan kehendak rakyat Kelantan.
“Ini melambangkan kehendak rakyat Kelantan sendiri, rakyat telah memilih wakil rakyatnya, dan wakil rakyatnya sebulat suara meluluskan undang-undang ini. Itu menunjukkan kehendak rakyat dan dalam sistem demokrasi, kita perlu hormat kehendak rakyat ini.
“Selagi ia tak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang lain, tidak ada masalah dengan perkara tersebut,” katanya lagi.
Zainul Rijal berkata, pihak yang membantah pindaan enakmen berkenaan perlu melihat daripada aspek keseluruhan dan bukannya bertumpu kepada hukuman semata-mata.
“Ada yang kata hukuman ini zalim, mencederakan, menyiksakan dan sebagainya. Orang ini tak faham tentang hukuman sebatan dalam Islam. Hukuman sebatan dalam Islam tak sama dengan hukuman di mahkamah sivil yang sekali sebat terus pengsan, cedera dan sebagainya.
“Dalam Seksyen 125 menggambarkan bahawa hukuman ini sangat-sangat ringan.
“Dan kita tak boleh lihat dari sudut hukuman saja, kena lihat dari sudut pembuktian. Sebab orang yang hanya dipastikan 100 peratus bersalah barulah boleh dihukum dengan sebatan (hudud), tidak ada kesilapan pada hakim,” katanya lagi.
Persidangan DUN Kelantan pada Rabu telah meluluskan rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama untuk menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan penggunaan video sebagai bahan bukti semasa perbicaraan.
Cadangan pindaan undang-undang itu diusulkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh ahli DUN.
-antarapos.com