EUCALYPTUS LESTARIKAN HUTAN KELANTAN, BANTU INDUSTRI PERKAYUAN

oleh Norzana Razaly

LOJING – Kerajaan Negeri Kelantan serius mengekalkan kelestarian hutan di negeri ini sebagaimana kata Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Hj Ahmad Yakob, Kelantan masih dilitupi kawasan berhutan seluas 53.7 peratus, yang mana 40 peratus darinya adalah Hutan Simpanan Kekal.

Bermula 11 Januari 2018, satu lagi projek perintis tanaman pokok balak jenis Eucalyptus (Kayu Putih) dijalankan sebagai sumber bekalan bahan mentah baharu dalam sektor perkayuan di Kelantan.

Selepas dua tahun, YB Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Hj. Mohd Amar Abdullah pula mengadakan lawatan kerja ke Ladang Eucalyptus di Hutan Simpan Kekal Sungai Betis, dekat sini, pada 16 Julai semalam.

Menurut Dato’ Amar, beliau bersyukur dan berpuas hati melihat kesuburan jajaran lurus Eucalyptus yang menjulang tinggi sehingga 40 kaki. Sekaligus menyegarkan udara sekeliling dan membuktikan ia sesuai hidup di Kelantan.

Beliau berkata, keadaan tanah di petak tanaman itu kelihatan lembut dan subur walaupun asalnya keras, bekas matau balak. Tetapi selepas diusahakan tanaman ini, tanah kembali lembut dan subur serta mesra tumbuhan hutan lain seperti pohon pisang.

“Di sekeliling kawasan tanaman ini, pokok-pokok pisang dan pohonan hutan yang lainnya kekal tumbuh subur dan “gemuk”. Oleh itu, kita serius mengkaji dan mengusahakan tanaman balak ini untuk mengekalkan hutan asli. Sekali gus mengatasi kekurangan bahan mentah (kayu) untuk industri perabot. Purata seluas 30 hektar tapak kajian disediakan untuk menanam 720 pokok bagi satu ekar.

“Kita turut dimaklumkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri, dalam tempoh dua tahun ini, pemerhatian mendapati Eucalyptus hibrid ini sangat sesuai ditanam dan bakal diiktiraf sebagai antara spesis ladang di masa akan datang”, katanya.

Tambahnya, Eucalyptus hanya mengambil masa 4 tahun untuk matang dan sehingga 7 tahun bagi membekalkan kayu keras untuk pembuatan perabot. Kultur Eucalyptus hybrid ini didatangkan dari Naning, China dan Kelantan berkemampuan untuk membina makmal kultur sendiri selepas ini.

Selari dengan kempen Kelantan Go Green, projek tanaman Eucalyptus juga membantu menghijaukan lagi bumi Kelantan.

“Hasrat utama kerajaan adalah bagi mengurangkan penebangan dan pergantungan kepada hutan asli serta sebagai usaha memelihara alam sekitar”, ujarnya.

Sementara itu, petak kajian tersebut turut dijadikan tapak kajian oleh institusi pengajian tinggi, jabatan perhutanan (FRIM) dan para pengkaji lain.

Contohnya, dapatan kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) di dalam pembentangan bertajuk “Potential of The Eucalyptus Plantation in Malaysia” menyatakan, kerajaan seharusnya menyokong industri penanaman Eucalyptus kerana ia dijangka berkembang maju sebagai spesis utama di negara ini dan menjanjikan pulangan lumayan.

Ia boleh dituai dalam tempoh tujuh tahun dengan purata ukur lilit (diameter) 23 sentimeter dan bertinggian 21 meter.

(Visited 48 times, 9 visits today)

Add Comment