Fahami cara betul guna ubat

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri mahu program penerangan penggunaan ubat-ubatan secara betul dipergiatkan lagi bagi membantu kefahaman pesakit khususnya membabitkan warga emas.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, ia penting bagi membantu mengawal dan mengubati pesakit dengan lebih baik.

Menurutnya, berdasarkan kajian pada tahun 2008 di negara ini hanya 44 peratus pengguna faham dengan cara penggunaan ubat yang betul dan selebihnya tidak, namun tahap kefahaman rakyat meningkat pada 2012  iaitu sebanyak 56.5 peratus.

“Bila kita bagi ubat ada kalangan mereka yang tidak faham untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin sehingga ada pesakit yang baharu sahaja diberi rawatan terpaksa masuk semula ke wad.

“Oleh itu, penyampaian maklumat berkenaan penjagaan kesihatan khususnya kepada warga emas dari segi kegunaannya perlu ditingkatkan lagi dari masa ke semasa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Farmasi Di Hati ‘We Love We Care’ di Rumah Sri Kenangan di sini, semalam.

Program anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Persatuan Farmasi Malaysia cawangan Kelantan dan Malaysian Community Pharmacy Guild.

Ahmad Razin berkata, program tersebut juga medan mengeratkan lagi kerjasama di antara fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Farmasi komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, usaha tersebut antara inisiatif memberi pendedahan tentang pengetahuan berkaitan ubat-ubatan kepada penghuni dan staf Rumah Seri Kenangan.

“Farmasi Di Hati mensasarkan penghuni Rumah Seri Kenangan memandangkan majoriti penghuninya seramai 131 mengalami penyakit kronik dan perlu mengambil ubat secara berterusan.

“Oleh itu sepanjang program ini  kita ada ceramah, kaunseling ubat-ubatan secara individu serta pemeriksaan kesihatan,” katanya.[SINAR HARIAN]

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment