FALAH AFRIKA TERNAK LEMBU FIDLOT

oleh Nik Azman Nik Mustapha

Berbekalkan semangat dan keyakinan diri yang tinggi anak muda berusia 35 ini menceburi bidang penternakan lembu daging sesudah menamatkan pengajian selama enam tahun di dalam bidang Pengajian Islam di Darul Ulum Al-Arabiyyah Al-Islamiyah (DUAI) Cape Town, Afrika Selatan.

Wan Abdul Falah Wan Ismail lahir pada tahun 1985 berasal dari Kampung Bechah Keranji, kini sedang mengusahakan penternakan lembu daging di tanah milik sendiri seluas 7 ekar di Kampung Dalam Kota, Pauh Lima, Jelawat, Bachok, Kelantan.

Pemilihan kerjaya ini bermula dengan minat sendiri bersertai dorongan dan sokongan keluarga dengan menternak 60 ekor lembu dengan modal permulaan sebanyak RM200,000.00.

Perniagaan ini diusahakan secara komersil melibatkan pasaran lembu fidlot baka baik jenis charrolais, limousine, KK, Cross Brahman dan pembekalan daging segar. Beliau kini memiliki dua buah kedai iaitu kedai jualan daging di Tunjong dan kedai pemasaran dedak di Peringat dengan empat pekerja termasuk di ladang ternak.

Dedak keluaran sendiri

Menurut ustaz muda ini untuk mengelak daripada masalah bekalan dedak, secara berkongsi beliau mengusahakan pengeluaran dedak yang beroperasi di Kedah dengan modal bersama.

Sebagai melengkapkan kerjayanya, beliau giat mengikuti kursus sembelihan dan teknik pemotongan daging di bawah Jabatan Veterinar Negeri kerana beliau bercita-cita mahu menjadi pembekal utama lembu dan daging segar di negeri ini.

Berbicara tentang masa hadapan, beliau berhasrat untuk meluaskan lagi bidang penternakan ini khususnya penternakan ayam belanda, kambing dan biri-biri yang sekarang ini mendapat permintaan tinggi.

Dalam memastikan kejayaan dan perkembangan kerjayanya ini, beliau berharap sekali semoga kerjasama dan sokongan modal di antara pihak kerajaan dan pengusaha dapat dilakukan pada masa akan datang.

Pulangan lumayan

Selain itu, untuk memastikan bidang penternakan terus berkembang di negeri ini, beliau berharap sekali supaya pihak kerajaan membuka lebih banyak peluang dan bantuan kepada golongan belia memandangkan bidang penternakan menjanjikan pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha pada kadar purata RM60,000.00 setahun.

Permintaan paling tinggi daripada pelanggan ialah daging musir (batang pinang) pada harga RM30.00 sekilogram (kg) diikuti daging pada bahagian biasa RM28.00/kg, tulang RM24.00/kg. Manakala organ dalaman yang bersifat eksotik pula paling popular ialah hati, jantung, limpa da pelempung (paru-paru) RM28.00/kg dan perut RM20.00/kg. Kaki lembu juga menjadi rebutan pelanggan, dijual bermula RM50.00 sebatang mengikut saiz.

Dalam melayari bahtera hidup ini, anak muda Kelantan yang bermaruah ini berpegang kepada prinsip, setiap tindakan ada risikonya sebagaimana perbuatan baik atau buruk yang akan kita terima balasannya. Oleh itu mencari ilmu pelbagai bidang dan menjaga sahsiah dapat meningkatkan kualiti hidup supaya berjaya dunia dan akhirat.- UPKN KELANTAN 14/1/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2575229482711403

(Visited 46 times, 4 visits today)

Add Comment