Fenomena air pasang besar masih terkawal

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk fenomena Air Pasang Besar dan musim tengkujuh yang dijangka berlaku di negeri ini sekitar November hingga Januari.

Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata, setakat ini keadaan di Kelantan masih terkawal memandangkan hujan hanya berlaku di beberapa kawasan dan tidak beterusan.

“Insya-Allah kita akan gerakkan 594 anggota di negeri ini dengan persediaan rapi termasuk dengan bantuan kecemasan dengan kelengkapan bot dan logistik untuk membantu memberi perkhidmatan yang diperlukan kepada masyarakat.

“Setakat ini kesemuanya dalam keadaan baik dan kita menunggu arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa untuk sebarang perubahan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 1,245 peserta kayuhan “Fun Ride’ di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di Tunjong di sini.

Anwar berkata, sambutan orang ramai amat menggalakkan dalam penyertaan tahun kedua kali ini melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Sasaran kita sebenarnya 500 peserta namun sehingga hari penyertaan kita menerima makin ramai peserta dan ia menunjukkan sambutan yang baik terhadap penganjuran kali ini.

“Insya-ALLAH kita akan jadikan acara kayuhan basikal ini sebagai acara tahunan memandangkan sambutan di luar jangkaan,” katanya.

Program itu disertai oleh pelbagai lapisan usia dan peserta paling muda berumur 71 tahun manakala yang paling muda berusia 11 tahun. SINAR HARIAN 24/9/2017

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment