Fenomena gerhana bulan berdarah

tech

gerhana bulan berdarah

BULAN berdarah atau gerhana bulan yang berlaku pada 4 April lalu telah mengundang pelbagai reaksi penduduk dunia sehingga menjadi bualan hangat di laman sosial dan dilaporkan mendapat lebih 200,000 pencarian di portal Google.

Ia merupakan kejadian kali ketiga selepas dilaporkan berlaku pada April dan September tahun lalu. Kejadian tersebut mencetuskan fenomena apabila sebahagian pihak menyifatkan kejadian alam tersebut hampir menyamai mitos yang telah digembar-gemburkan sebelum ini.

Sebahagian masyarakat dunia percaya kejadian empat kali gerhana bulan merupakan tanda bahawa dunia telah berada di peringkat akhir zaman.

Berikutan khabar tersebut, terdapat kenyataan yang menjangkakan bahawa kejadian keempat gerhana bulan bakal berlaku pada 28 September nanti.

Bertentangan dengan tilikan tersebut, pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pula telah menyediakan jawapan saintifik mengenai fenomena alam berkenaan yang disifatkan sebagai kejadian semula jadi apabila gerhana bulan berlaku secara keseluruhan.

“Dalam kejadian gerhana bulan, perubahan warna yang berlaku adalah disebabkan oleh cahaya matahari yang merentasi atmosfera Bumi sehingga menyebabkan saringan sebahagian besar sinar biru,” jelas jurucakap NASA dalam satu kenyataan baru-baru ini.

fenomena gerhana bulan berdarah

Selain itu pihak NASA juga turut membuat perkiraan bahawa fasa gerhana bulan yang berlaku sebelum ini dapat disaksikan oleh penduduk di Jepun, Australia, China dan negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Gerhana bulan merupakan kejadian alam yang berlaku apabila kedudukan bulan terlindung oleh Bumi dalam posisi yang sejajar dengan matahari. Keadaan ini telah menyebabkan cahaya matahari tidak dapat mencapai bulan.

Namun bukan semua keadaan sejajar bulan, Bumi dan matahari akan menghasilkan gerhana. Fenomena gerhana akan muncul apabila jarak sudut di atas atau di bawah satah ekliptik yang diukur pada bulatan longitud samawi yang bertanda plus jika di utara dan minus jika di selatan ekliptik berada pada darjah tertentu.

Berikutan kedudukan bulan itu, pantulan cahaya matahari bersama biasan cahaya biru melalui atmosfera Bumi telah menyebabkan warna bulan bertukar suram seperti kemerahan sehingga diberi gelaran bulan berdarah.

Fenomena alam gerhana bulan terbahagi kepada tiga iaitu gerhana bulan penuh, gerhana bulan separa dan gerhana bulan penumbra.

Di Malaysia, kejadian gerhana bulan merupakan antara peristiwa yang dinantikan oleh masyarakat. Keadaan bulan merah yang jarang dapat disaksikan oleh penduduk tempatan menjadikan fenomena alam tersebut disambut bersama-sama untuk melihat keindahan bulan di saat gerhana.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mengadakan aktiviti cerapan di Masjid Putra, Putrajaya.

fenomena gerhana bulan berdarah

Seramai 1,000 pengunjung hadir memeriahkan program tersebut yang dimulakan dengan sesi ceramah berkaitan gerhana oleh Dr. Azhari Mohamed, Ahli Panel Pakar Falak, Jakim pada pukul 6 petang.

Solat sunat

“Pihak Jakim menyeru semua masjid dan surau seluruh Malaysia supaya dapat mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan dengan mengadakan solat sunat gerhana bulan berserta khutbah gerhana.

“Jakim juga melalui masjid-masjid utama iaitu Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya turut melakukan solat sunat gerhana bulan selepas selesai solat Maghrib,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga turut menyarankan masyarakat Islam seluruh negara untuk bersama-sama melakukan solat sunat khusuf (solat sunat gerhana bulan) berjemaah disertai dengan khutbah gerhana di masjid atau surau berhampiran sekiranya fenomena gerhana berlaku pada masa akan datang.

Tambahnya lagi tuntutan menunaikan solat sunat gerhana bulan adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka, apabila kamu melihat gerhana, maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana).”

Fasa pertama gerhana bulan itu bermula pada pukul 5.02 petang dan mencapai tahap kemuncak pada pukul 8.03 malam. Gerhana telah berakhir pada pukul 10.59 malam.

– Kosmo

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Hanya 117 kediaman miliki geran

KUALA KRAI: Kerja-kerja membina 1,257 rumah mangsa banjir di daerah ini yang musnah akibat banjir hujung tahun lalu bukanlah satu perkara mudah. Jurutera Jajahan JKR Kuala Krai, Ahmad Qushairi Ya berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan antaranya perlu pengesahan status tanah dan mendapat pengesahan daripada pemimpin […]

Subscribe US Now