KOTA BHARU – ‘Galeri Tok Guru’ Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini dibuka dengan rasminya bermula kelmarin bertempat di Bangunan Maahad Darul Anuar (Mada), Pulau Melaka, di sini.
Perasmian pembukaan dilakukan isteri arwah bekas Mursyidul Am Pas itu iaitu Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan anak keduanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Nik Omar ketika ditemui Sinar Harian berkongsi perasaan bersyukur kerana akhirnya impian untuk mewujudkan Galeri Tok Guru ini tercapai.
“Saya masih ingat lagi, semasa hayat arwah, saya pernah suarakan untuk wujudkan galeri ini. Arwah hanya tersenyum. Senyuman itu sebenarnya jawapan kepada soalan kami, dan sejak dari itu bermulalah usaha mengumpulkan koleksi-koleksi peribadi ayahanda untuk tatapan masyarakat yang merinduinya,”katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, pelbagai barangan peribadi arwah dijadikan bahan pameran galeri tersebut iaitu selipar, baldi mandi, kain pelekat, baju, kasut dan parang yang digunakan semasa berkebun.
Beliau yang juga Pengetua Maahad Darul Anuar berkata, apa yang diharapkan Galeri Tok Guru ini akan bukan sahaja dapat mengubat kerinduan anak-anak dan orang ramai terhadap Tok Guru malah menjadi penguat semangat serta pendorong kepada pejuang-pejuang Islam didunia.
“Moga ia mampu membangkitkan semangat perjuangan ke arah kebaikan dan kebajikan sebagaimana yang dititik beratkan Tok Guru, selain memberi makna tersendiri kepada pengunjung,”katanya.
Nik Omar juga memberitahu, pembukaan galeri ini juga sebagai salah satu hadiah kepada semua perwakilan yang menghadiri Muktamar Pas yang akan berlangsung di Pengkalan Chepa minggu hadapan.