‘Gengster’: Dewan Rakyat gamat macam pasar malam

KUALA LUMPUR: Suasana persidangan Dewan Rakyat, hari ini gamat seperti pasar malam apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor, KS Ramkarpal Singh mencelah ketika sesi perbahasan titah diraja membangkitkan satu insiden beberapa tahun lalu membabitkan Ketua Pemuda Umno yang dakwanya lagak pemuda Umno itu tidak bertamadun seperti gangster menyerang mendiang Karpal Singh.

Berikutan itu berlaku kepada pertikaman lidah antara ahli parlimen pembangkang (BN) dan kerajaan (PH) apabila masing-masing bertegas enggan beralah menyebabkan sidang terganggu selama hampir sejam.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon kemudiannya mengarahkan agar ditarik balik penggunaan perkataan tersebut namun Ramkarpal enggan berbuat demikian malah mempertahankan tindakannya dan beliau sanggup dikenakan apa-apa tindakan daripada speaker.

Sementara itu, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) berkata, keenggangan ahli parlimen PH itu menarik semula perkataan ‘gangster’yang digunakannya dalam ucapan hari ini sambil tangan ahli parlimen itu menuding ke arah blok pembangkang adalah melanggar Peraturan Mesyuarat 36(4) yang menggariskan adalah menjadi kesalahan bagi ahli Dewan Rakyat yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan seksis.

“Apa yang berlaku pada hari ini ialah keenggangan ahli parlimen tertentu yang diminta oleh speaker untuk menarik balik perkataan yang diucapkan kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (4), jadi keenggangan ahli parlimen tersebut untuk tidak patuh kepada ruling daripada speaker adalah merupakan satu perkara yang sangat memalukan dan ianya yang paling besar ialah mencabar kredibiliti dan kewibawaan speaker seolah-olah speaker ini boleh dipermainkan.

“Dengan ruling arahan yang dibuat oleh speaker boleh je untuk dipatuhi atau tidak dipatuhi, ini satu mesej yang sangat salah dan sangat tidak beretika bagi seorang ahli parlimen terutamanya ahli parlimen yang mewakili kerajaan,” katanya kepada Harakahdaily.

Ujarnya lagi, ada kalangan ahli parlimen PAS bangkit untuk mempertahankan speaker dan beliau antaranya bangkit bertindak seperti itu.

Namun begitu, beliau kecewa apabila ahli parlimen PAS tidak sempat bercakap untuk memberi hujah.

“Pada hemat saya, speaker anggap kita ini bangun untuk membangkang dia padahal kita dengan penuh hormat kita ingin menjaga kemuliaan kerusi speaker supaya speaker tidak boleh dipermainkan dengan sewenang-wenangnya dengan mengengkari arahan daripada speaker.

“Sepatutnya speaker menggunakan peruntukan-peruntukan dewan yang lain apabila ada ahli engkar pada ruling speaker untuk apa-apa tindakan termasuk menghalau keluar ataupun menggantung mana-mana ahli yang engkar kepada ruling kepada speaker,” katanya.

Sidang kemudiannya dihentikan pada jam 1.00 tengah hari oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memberi laluan waktu rehat dan diteruskan semula jam 2 petang tadi. – HARAKAHDAILY 18/7/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
63Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment