PASIR MAS: Hampir 500 orang termasuk peniaga Pasar Bandar Tasek Raja (Pasar Besar Pasir Mas) menyertai program gotong-royong perdana bagi membersih pasar berkenaan.
Turut serta dalam majlis gotong-royong itu, Anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Adun Bukit Tuku, Abdul Rasul Mohamed, Ketua Pemuda Pasir Mas, Ustaz Mohd Fadhli Shaari.
Program berkenaan yang diketuai penaung pasar berkenaan, Ustazah Zailah Mohd Yusof, bermula jam 2.30 dan berakhir menjelang solat Asar petang semalam.
Zailah ketika diminta mengulas berhubung program itu berkata, sebanyak 100 ekor kucing terbiar telah ditangkap oleh MDPM.
Menurutnya, pihak berkenaan telah membuat sangkar khas untuk memelihara binatang berkenaan ditempat khas.
Jelasnya, program pertama ini adalah permulaan yang baik untuk mengadakan program yang seterusnya pada masa akan datang.
“Banyak kucing liar yang dibuang di pasar ini hingga najis ditemui merata tempat.
Sementara itu, Nik Abduh mengucapkan tahniah kepada Zailah yang juga Anggota Parlimen Rantau Panjang kerana menganjurkan program itu.
Menurutnya, usaha murni itu begitu baik demi menjaga kebersihan pasar tersebut untuk keselesaan semua pihak, termasuk peniaga sendiri.
“Apatah lagi Daerah Pasir Mas adalah salah satu destinasi tumpuan pelancong, jadi amat wajar kebersihan itu dijaga.
Acara sampingan cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan program itu.
Sebanyak 100 hamper yang disumbangkan peniaga untuk dihadiah kepada peserta bertuah. – HARAKAHDAILY 23/2/2017