MESIR – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra mahu penuntut yang belajar di Mesir menggunakan peluang menimba ilmu di negara itu.
Ketika bertitah di Majlis Perasmian Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan di Kaherah Mesir Jumaat lalu, baginda mengharapkan semua penuntut Kelantan di negara itu dapat memberikan tumpuan dan komitmen kepada pengajian tanpa melibatkan diri dalam kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Beta mengharapkan semua pelajar Kelantan di Lembah Nil ini tidak mencampuradukkan dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penuntut ilmu yang berfikiran matang.
“Tumpukan sepenuhnya perhatian kepada pelajaran di samping dapat menguasai bahasa Arab dengan sebaik-baiknya kerana bahasa Arab menjadi bahasa sumber rujukan utama bagi ilmu Islam,” titah baginda.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Mufti Negeri, Datuk Syukri Mohamad dan barisan kepimpinan Kerajaan Kelantan.
Wisma Sultan Muhammad V setinggi 11 tingkat itu dapat memuatkan seramai 288 penuntut dan dibiayai oleh kerajaan negeri sebanyak RM12 juta, sementara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membelanjakan sebanyak RM5 juta.
Manakala, bangunan 11 tingkat yang dimasyhurkan dengan Wisma Tengku Mahkota Kelantan dapat menampung 360 penuntut dan dibiayai sepenuhnya oleh Maik dengan kos RM12 juta.
Dalam pada itu, baginda juga meletakkan harapan tinggi kepada semua penuntut di sana supaya menimba sebanyak mungkin ilmu yang ada untuk dimanfaatkan setelah kembali ke tanah air.
Selain itu, baginda juga bertitah agar pelajar di sana dapat menjadi duta kecil Kelantan secara khasnya dan Malaysia amnya bagi memastikan negara ini sentiasa dipandang tinggi di Mesir.
Sementara itu, baginda yang juga Yang Dipertua Maik bertitah, sebagai institusi induk pentadbiran agama di Kelantan yang bertanggungjawab meningkatkan taraf sosio-ekonomi telah bertindak secara proaktif dan profesional dalam menguruskan hal ehwal Islam berteraskan sumber baitulmal dan zakat.
Dalam titah baginda, salah satunya adalah agihan kewangan dalam lapangan pendidikan kepada anak Kelantan yang sedang menuntut di luar negara.
Menurut baginda, dalam tempoh 10 tahun, bermula 2006, Maik melalui Tabung Yayasan Pengajian Tinggi telah membelanjakan sebanyak RM21,011,100 juta kepada 8,089 penuntut yang sedang belajar dalam pelbagai bidang di universiti luar negara.
Daripada jumlah itu, baginda bertitah, pada tahun 2016 sahaja Maik telah membelanjakan sebanyak RM4,784,000 juta dengan menyalurkan bantuan pengajian kepada 1,103 pelajar di luar negara.
“Gambaran ini menunjukkan bahawa Maik terus mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan peranannya sebagai badan induk yang mementingkan pembangunan ummah Islam dalam konteks ekonomi dan pembangunan modal insan umat Islam.
“Dalam usaha berterusan dan kesinambungan pembangunan modal insan kepada umat Islam Kelantan melalui program pendidikan, Maik telah merangka cadangan bagi program pengajian Islam di universiti Timur Tengah,” titah baginda.
Baginda bertitah, pengenalan program biasiswa itu adalah satu usaha Maik bertujuan membantu pelajar dalam kalangan asnaf keluar daripada putaran kemiskinan dan bersemangat untuk membina kehidupan ke tahap lebih baik – Sinar Harian