KUALA KRAI: Kerja-kerja membina 1,257 rumah mangsa banjir di daerah ini yang musnah akibat banjir hujung tahun lalu bukanlah satu perkara mudah.
Jurutera Jajahan JKR Kuala Krai, Ahmad Qushairi Ya berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan antaranya perlu pengesahan status tanah dan mendapat pengesahan daripada pemimpin setempat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, daripada kesemua rumah yang musnah itu, bukan semua mangsa memiliki tanah sendiri dan geran bagi membolehkan mereka mendapat rumah kekal.
“Hanya 117 pemilik kediaman mempunyai geran dan telah disenaraikan dalam MKN.
“Oleh sebab itu, usaha kerajaan bantu mangsa yang tidak memiliki tanah dan geran ini ambil masa,” katanya.
Beliau berkata, bagi kerja-kerja membina semula rumah kekal untuk mangsa banjir di daerah ini diletakkan di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kini, 92 rumah sedang dalam pembinaan serta hampir siap termasuk lima telah siap di Manek Urai Lama dan penyerahan kepada pemilik telah pun dilakukan 12 April lalu.
“Baki 25 rumah lagi pula kini dalam proses pelantikan kontraktor memandangkan ketika ini berlaku masalah ‘overload’ dengan kerja baik pulih sekolah dan jalan,” katanya.
Hadapi pelbagai kekangan
Ahmad Qushairi berkata, sehingga kini JKR masih belum mendapat kelulusan untuk membina rumah yang tidak memiliki geran.
“Pada masa sama kami turut berdepan beberapa masalah lain. Misalnya terdapat kes apabila pihak kami hendak pergi melihat rumah mangsa ada badan bukan kerajaan (NGO) sedang bina rumah berkenaan sedangkan rumah penduduk terbabit telah
disenarai untuk dibaik pulih.
“Kita turut berdepan masalah akses ke tanah mangsa yang perlu melalui tanah lain. Jika pemiliknya enggan membenarkan jalan tersebut digunakan, ia pastinya menjejaskan usaha membina rumah mangsa,” katanya.
Tambahnya, ada juga tapak pembinaan rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik sekali gus menyukarkan kerja-kerja kontraktor dilantik.
“Kontraktor juga berdepan masalah bahan binaan yang tidak mencukupi.
“Bagi kes yang mendapat bantahan penduduk pula, pembinaan perlu ditangguhkan,” katanya.
Kerajaan tak berdiam diri
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abd Rahman menyangkal dakwaan pihak tertentu hanya lima rumah kekal dibina di daerah ini.
Beliau yang juga Adun Dabong berkata, kerajaan pusat tidak berdiam diri dengan masalah dihadapi rakyat malah sentiasa berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu.
“Bukan semua mangsa banjir memiliki tanah sendiri kerana berdasarkan senarai diterima daripada MKN ramai tak memiliki geran dan tanah,” katanya.
Selaku pemimpin beliau turun padang melihat tanah-tanah untuk dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.
“Saya telah lihat tanah-tanah di sekitar Kuala Krai. Kita kini berada dalam proses mengenal pasti tanah sesuai serta mengadakan rundingan mengenai harga,” katanya.
Ramzi berkata, sehingga kini kerajaan negeri memberikan kerjasama baik dalam usaha membina kediaman baharu untuk membantu mangsa banjir di daerah ini.
“Selaku pemimpin saya mahu lihat rakyat segera dapat diami rumah kekal kerana sedar pelbagai rintangan dan dugaan dihadapi mangsa banjir tinggal di khemah.
“Saya tidak nafikan masih ramai yang mendiami khemah, jadi saya amat berharap kerja-kerja membina rumah ini siap sebelum Ramadan,” katanya.
Manakala, katanya, kerja-kerja membina rumah bagi fasa kedua juga diharapkan dapat disiapkan sebelum puasa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian