Hari Sukan Negara Jangan Beri Tanggapan Negatif

KOTA BHARU – Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat menyeru kepada seluruh rakyat negeri Kelantan menyertai Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan dan juga daerah yang akan diadakan pada 13 Oktober depan.

Menurutnya Islam sesekali tidak menghalang aktiviti kesukanan dan tidak wajar jika ada membuat tanggapan negatif bahawa apabila Kelantan melaksanakan dasar Islam dalam pentadbirannya maka aktiviti sukan dan rekreasi juga dibataskan di negeri Kelantan.

Ustaz Wan Roslan berkata demikian suatu mempengerusikan Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim dekat sini.

“Kelantan hanya menyesuaikan aktiviti sukan agar ia menepati dengan garis panduan syariat seperti penjagaan aurat, batas pergaulan dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri Kelantan juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan kerana terus mengambil pendekatan positif dengan melibatkan negeri dalam program seperti ini,” katanya.

Pembentangan kertas Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mud Nazri Yakob.

Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan yang bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan antara lain memuatkan pelbagai acara seperti fun run, fun ride, pertandingan penalti, bola jaring, mendaki tembok tiruan, silat dan lain-lain.

Dalam pada itu Ustaz Wan Roslan juga menyatakan bahawa pada hari sama pihak Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan akan menganjurkan pertandingan bina badan patuh syariah, Mr Awang Selamat Kelantan 2018 yang akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Kota Bharu.

Ia mendapat penyertaan daripada seluruh negara termasuk beberapa agensi beruniform seperti polis, askar dan bomba.- 03 OKT 2018 UBES

https://www.facebook.com/urusetiabeliasukan/posts/1946737538698065

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment