KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berharap pihak tertentu berhenti menyebar semula gambar-gambar ‘bah kuning’ yang melanda negeri ini penghujung 2014 lalu.
Katanya, tindakan itu dikhuatiri mengelirukan orang ramai yang akan mencetus rasa panik dalam kalangan mereka.
“Apa yang sepatutnya dilakukan memberi nasihat pada masyarakat agar tidak berasa takut.
“Sebar gambar banjir 2014 tidak sepatutnya berlaku kerana akan mengelirukan masyarakat,” katanya.
Beliau turut berpendapat perbuatan itu buruk serta tidak baik kerana Kelantan belum dilanda banjir seperti didakwa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Islam Kelantan 2016 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jhaeik) dan Jakim di Balai Islam Lundang, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassuruddin Daud serta Pengarah Jheaik, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.
Menteri Besar membuat teguran itu selepas ada pihak bertindak menyebar semula gambar lama bah kuning di laman sosial sejak kebelakangan ini.
Katanya, tindakan itu menyebabkan orang ramai menyangka bencana tersebut berlaku lagi tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Pusat membuat persiapan bagi menghadapi banjir.
Katanya, persiapan itu lebih tersusun berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Menurut beliau lagi, sekiranya banjir bebasar tetap berlaku, ia kehendak Allah.
Tambahnya, apa yang penting umat Islam perlu berdoa sentiasa pada Allah supaya Kelantan tidak berhadapan ancaman banjir besar. – HARAKAHDAILY 5/12/2016