KOTA BHARU – “Saya nasihatkan semua masyarakat di luar sana, tolong hentikan pembakaran terbuka kerana ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dan membahayakan kesihatan masyarakat sekitar ekoran pencemaran udara yang berlaku.
Pembakaran terbuka ini berlaku akibat sengaja atau tidak sengaja yang dilakukan oleh manusia, tambah-tambah lagi pada musim kemarau sekarang. Tolong hentikan pembakaran terbuka segera kerana ia mudah merebak dan tidak mustahil akan berlaku kebakaran yang lebih besar lagi selepas ini.”
Demikian menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan YS PPjB Zainal Madasin ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Tunjung, hari ini.
Menurut beliau, sehingga 11 April 2023, sebanyak 501 kes pembakaran terbuka berlaku di Kelantan membabitkan kawasan seluas 6,058 hektar.
Tambahnya, antara kes tersebut ialah kebakaran belukar/lalang 287 kes, kebun/ladang 5 kes, hutan 13 kes, tanah gambut 2 kes, sampah 47 kes dan lain-lain 147 kes.
Sementara itu katanya, Bachok mencatatkan rekod tertinggi iaitu 82 kes, diikuti Kota Bharu 58 kes, Pasir Puteh 53 kes dan Pasir Mas serta Ketereh masing-masing 35 dan 33 kes.
“Tindakan akan diambil segera, bukan sahaja nasihat tetapi tindakan akan dibawa ke peringkat atas. Kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sangat dialu-alukan untuk tindakan kepada masyarakat yang berbuat demikian,” katanya.