SEREMBAN – Rakyat Kelantan yang pelbagai etnik dan agama hidup rukun dan harmoni di bawah Kerajaan Membangun Bersama Islam sejak sekian lama. Ia sebagai bukti keadilan Islam dalam pentadbiran dan pemerintahan.
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Haji Mohd. Nassuruddin Haji Daud meminta masyarakat bukan Islam supaya menghormati hak orang Islam yang merupakan penduduk majoriti di Kelantan berhubung isu Pindaan Akta 355.

Menurut Nassuruddin, masyarakat bukan Islam yang merupakan penduduk minoriti di Kelantan sering menuntut agar dihormati hak-hak mereka sebagaimana yang dijamin Perlembagaan Malaysia dan Kerajaan Negeri sentiasa akur.
Sejak era pentadbiran di bawah al-Marhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sehinggalah ke hari ini di bawah Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob terbukti hak-hak bukan Islam tidak dinafikan.
“Sila tuan-tuan datang ke Kelantan, boleh tengok sendiri. Boleh tengok kami hidup sebagai satu keluarga.
Hari ni saya nak menyatakan, hormatilah hak kami orang Islam. Kami ni golongan majoriti. Kalau hak minoriti kita boleh hormat. Kenapa orang lain tak boleh hormat hak kita?” soal Nassuruddin.
Beliau berkata demikian di hadapan komuniti bukan Islam di Majlis Makan Malam dan Dialog Pindaan Akta 355 di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Sejarah hitam 13 Mei 1969 juga membuktikan betapa Islam memelihara keadilan dan kesejahteraan kaum apabila tiada seorangpun dari kalangan bukan Islam dan bukan Melayu yang diganggu-gugat. Waktu itu Kerajaan Negeri Kelantan juga di bawah penguasa
an Parti Islam Semalaysia (PAS).
Majlis anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) itu berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni dan mesra. Selain Dato’ Nassuruddin, panel turut dibarisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.