KOTA BHARU – Tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menunjukkan gambaran kepada rakyat bahawa beliau sememangnya mempunyai masalah peribadi dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Veteran Pas, Abdul Fattah Harun berkata, tindakan Husam hanya menyerlahkan lagi ketidakpuasan hatinya kepada individu sahaja namun dalam masa yang sama menggunakan parti demi kepentingan peribadi.
“Masa awal-awal dulu, kritikan yang dilemparkan Husam dilihat ada sedikit bahaya namun akhir-akhir ini, ia semakin menunjukkan sikap sebenar beliau.
“Tindakannya melampaui batasan dan hanya menggunakan parti untuk memuaskan hati sendiri. Masalah dia hanya dengan Nik Amar (Mohd Amar), tapi mengaitkan parti.
“Malah, ada perkara yang tidak patut disebut turut diberitahu di khalayak ramai. Ini menggambarkan dia (Husam) tidak matang dan membuatkan ahli Pas cemuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Husam baru-baru ini mendakwa Mohd Amar adalah punca kepincangan kerajaan negeri dan turut mendesak Naib Presiden Pas itu meletakkan jawatan.
Ditanya adakah tindakan Husam boleh menjejaskan kepercayaan rakyat termasuk ahli-ahli Pas, Abdul Fattah memberitahu, tidak pernah berbangkit soal kepercayaan rakyat.
Katanya, desakan agar Mohd Amar meletakkan jawatan juga adalah satu tindakan tidak matang dan melampaui batasan.
“Tak perlu desakan sebegitu, tunggulah PRU14 nanti. Tak lebih tiga tahun lagi, sabarlah.
“Negara kita negara demokrasi yang menetapkan lima tahun sekali untuk pilihan raya. Tunjukkanlah kematangan kita sebagai individu yang pernah menjadi pemimpin,” katanya. [SINAR HARIAN]