HUSM terima pakar jantung kanak-kanak dari UK

KOTA BHARU – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menerima bantuan kepakaran sepasukan doktor pakar bedah jantung kanak-kanak dari United Kingdom, kali ini bagi melakukan pembedahan kepada 10 orang pesakit jantung, di Hospital USM (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Timbalan Pengarah Kanan (Klinikal) HUSM Dr Nik Min Ahmad berkata rombongan pakar berkenaan adalah kesinambungan program yang dimulakan sejak 2015 dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan badan amal, Yayasan ‘Healing Little Heart’ (HLH).

“Kali ini rombongan pakar diketuai Dr Edward Peng bersama tiga orang doktor, tiga jururawat dan seorang perfusionis daripada Royal Hospital For Children, Glasgow, Scotland dalam usaha membantu 10 pesakit jantung kanak-kanak di HUSM,” katanya pada sidang akhbar bagi memperkenalkan projek amal itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains HUSM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Pakar Pediatrik Kardiologis HUSM Dr Mohd Rizal Mohd Zain.

Dr Nik Min berkata pesakit jantung terbabit yang berumur antara tujuh hari dan 18 tahun menjalani pembedahan tersebut yang bermula Ahad lepas hingga Khamis ini.

Beliau berkata sehingga kini empat bantuan yang sama berjaya memberi manfaat kepada 40 pesakit jantung kanak-kanak di Kelantan sejak program itu dilaksanakan pada 2015.

Katanya HUSM amat bertuah dan berterima kasih atas usaha murni yang dilakukan oleh semua pakar bedah berkenaan kerana ia bukan sahaja satu perkongsian perubatan bijak tetapi lebih penting mampu memendekkan tempoh menunggu pesakit selain dapat menjimatkan kos sehingga RM50,000.

Beliau berkata kerjasama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit jantung di negeri ini yang dianggarkan sebanyak 400 kes setahun selain pesakit lain di seluruh negara. – BERNAMA 26/9/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook0Share on Google+0Tweet about this on TwitterPrint this page

Add Comment