‘Isteri pun tak tahu saya jadi calon…’

“KITA ni kalau buat apa-apa kerja sekalipun di dunia kena ikhlas”. Itulah antara kata-kata mutiara Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sememangnya tidak akan dilupakan dan menjadi pegangan Ahmad Fathan Mahmood.

Beliau kini memikul tanggungjawab sebagai Adun Chempaka menggantikan arwah Murabbi Ummah itu.

Tanggal 22 Mac 2015, setelah memenangi Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka dengan mengalahkan empat calon lain, maka episod kehidupan Ahmad Fathan sebagai wakil rakyat dan mesti berkhidmat kepada masyarakat bermula.

Mengakui memikul tanggungjawab seluas lautan itu, Ahmad Fathan memberitahu Sinar Harian, beliau sebenarnya tidak pernah menjangkakan berada di kedudukannya sekarang untuk menggantikan tempat arwah Tok Guru.

“Isteri pun tak tahu saya jadi calon. Saat-saat akhir baru saya beritahu, saya terima sebagai tanggungjawab,” katanya yang mengamalkan prinsip sentiasa perlu bersedia apabila melibatkan diri dalam politik.

Bagaimanapun Ahmad Fathan berkata, setiap apa yang berlaku dalam hidup telah ditentukan Ilahi dan pesanan serta nasihat sepanjang bersama arwah Tok Guru menjadi pembakar semangat untuknya mengemudi bahtera ditinggalkan pemimpin tersebut.

Ketika berbicara mengenai arwah Tok Guru, riak wajah Ahmad Fathan yang dipanggil ustaz dan tok imam itu nampak sedih seketika, namun kembali ceria setelah mengimbau kembali hadiah serta pemberian daripada arwah Tok Guru kepadanya, antaranya jaket hitam selalu dipakai arwah yang menjadi kenangan.

Sambil ketawa, ustaz berusia 42 tahun itu berkata, “Tok Guru pesan, pakai molek baju ni ada nama ana tu”.

Telah biasa lakukan kerja berkaitan masyarakat

Mengundur sedikit masa bercerita mengenai zaman sebelum bergelar Yang Berhormat, Ahmad Fathan memberitahu, sememangnya beliau telah biasa dengan kerja berkaitan masyarakat kerana sebelum ini telah memikul amanah sebagai Imam Tua di Masjid Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa.

Ahmad Fathan juga memberitahu, sebelum ini pun ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Pengetua dan Pensyarah Institut Dakwah Islamiah Perkim, jadual kerjanya juga padat yang diibaratkan ‘belum sempat tanggal baju orang dah ada tunggu di rumah nak jumpa’.

“Sekarang pun sibuk juga, kerja sampai lewat pagi tapi biasalah asam garam orang politik, tapi saya dibantu oleh anak-anak buah di pejabat Dun,” katanya yang mengagumi kerjasama antara beliau dan tenaga sokongan yang lain termasuk keluarga.

Selain itu katanya, pengalamannya sebagai imam, Ketua Pas Cawangan Baung, Ketua Urusan Ulamak Dun Chempaka dan Bendahari Pas Kawasan Pengkalan Chepa serta diperkemas dengan perjalanan kehidupan sepanjang 15 tahun bersama Pas sangat membantunya menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Berhormat.

Kongsi bapa tujuh anak itu lagi, beliau sebelum bergelar Yang Berhormat juga selalu mendapat undangan untuk majlis cukur rambut.

“Setiap Jumaat dan Sabtu, mesti ada yang bertandang ke rumah untuk bertahnik dan cukur jambul,” katanya.

Mendengar perkongsian itu, teringat kepada arwah Tok Guru. Orang ramai setia menunggu seawal Subuh lagi di masjidnya di Pulau Melaka untuk cukur jambul dan tahnik.

Secara kebetulan, mungkin inilah juga pengubat kerinduan penduduk di Dun Chempaka terhadap tradisi arwah Tok Guru yang selalu dilakukan sebelum ini ketika hayatnya masih ada.

Hidupkan aktiviti lazim

Sebut sahaja Dun Chempaka, ia amat dekat dengan arwah Tok Guru dan itulah cabaran hebat kepada Ahmad Fathan untuk ‘masuk’ ke dalam kelompok masyarakat dibayangi aura arwah Tok Guru sejak berpuluh tahun lamanya.

Menyedari dan mengakui hakikat tersebut, Ahmad Fathan berkata, beliau berusaha sedaya upaya dengan kemampuan yang ada untuk mendekati dan menyelami persekitaran kehidupan masyarakat di Dun tersebut.

“Saya tidak sama dengan arwah Tok Guru, saya bukan pengganti arwah Tok Guru, saya hanya teruskan perjuangan arwah Tok Guru,” katanya dengan sepenuh hati.

Katanya, walaupun gaya penampilannya tidak sama seperti arwah Tok Guru, namun beliau berusaha sehabis daya menghidupkan aktiviti lazim dilakukan pemimpin itu sebelum ini seperti berkhutbah dan menyampaikan tazkirah.

“Saya seronok lalui apa saya buat selama ini tetapi saya sentiasa sedar kehebatan, aura dan kelebihan arwah Tok Guru tiada tandingannya. Saya pun harap rakyat memahaminya.

“Saya berusaha untuk membuatkan rakyat sayangkan saya sebagai calon Pas dan tetap menyokong Pas sampai bila-bila. Saya tahu pengundi di sini sangat-sangat sayangkan Tok Guru” katanya yang berusaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pas pada PRU14.

Secara tidak langsung, perkongsian Ahmad Fathan itu menepis andaian beliau tidak seaktif arwah Tok Guru dan hanya dianggap sebagai mengisi kekosongan sahaja selepas ketiadaan arwah Tok Guru.

“Satu kelebihan kepada saya bertanding dengan tiket Pas, namun saya tidak boleh terus berpegang pada formula ini. Saya kena usaha sebaik mungkin supaya saya diterima oleh rakyat,” katanya yang sudah merangka pelan pembangunan lima tahun di Dun berkenaan.

Ahmad Fathan juga memberitahu, dalam tempoh baki dua tahun lagi untuk berdepan PRU14, beliau bersama semua jentera telah menyusun pelbagai pendekatan untuk melihat kubu kuat Pas itu tidak akan beralih kepada parti lawan.

Namun, beliau akui merasai sedikit kebimbangan terhadap perkembangan politik di tanah air ketika ini dengan wujudnya parti baharu namun beliau yakin kepercayaan dan kesetiaan rakyat kepada Pas tidak akan mudah berubah.[SINAR HARIAN 15 DISEMBER 2015]

(Visited 25 times, 1 visits today)

Add Comment