Isu penasaban anak tak sah taraf kepada bapa biologi

FIRMAN Allah SWT:

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. (Al-Isra’: 32)

Perbincangan berkaitan anak tak sah taraf semakin menjadi polemik mutakhir ini apabila perbincangan berlandaskan disiplin ilmu dan ketetapan hukum yang disepakati tidak dihormati. Betapa ramai orang yang membimbangkan masa depan anak tak sah taraf apabila mereka mencapai umur remaja khasnya dalam berhadapan dengan masyarakat.

Isu kesan psikologi dan persoalan menjaga perasaan anak tak sah taraf hebat diperbincangkan daripada satu sudut. Sementara daripada sudut lain, agak kurang dihangatkan perbincangan tentang pengajaran daripada ayat Allah yang menyatakan bahawa anak tak sah taraf akan melorongi jalan sukar hasil perbuatan jelek si bapanya.

Hal inilah yang sewajarnya diberi peringatan tegas agar manusia menjauhi segala agenda dan aktiviti yang boleh menyebabkan berlakunya zina. Samentelah Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan nasab atau keturunan selain agama, nyawa, akal dan harta. Maka pandangan Jumhur Ulamak dalam penetapan kesahtarafan anak luar nikah perlu diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.

Ini bermakna, anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh) adalah tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Umum perlu sedar bahawa persoalan anak tak sah taraf adalah satu persoalan berat mengikut hukum syarak kerana ia melibatkan nasab, pusaka, wasiat, perwalian, nafkah, pergaulan dan sebagainya.

Dalam hal ini, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) melihat keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan membenarkan anak tak sah taraf dibinkan kepada bapa biologinya boleh menyebabkan berlaku banyak kecelaruan hukum pada suatu ketika nanti. Bahkan dalam hal ini, perlu dihayati sebuah hadis Rasulullah SAW:

الوَلدُ لِلْفِرَاش وَلِلعَاهِر الحَجَر

Maksudnya: “Anak (luar nikah) itu adalah hak pemilik hamparan (ibunya) dan bagi penzina haknya adalah batu (hukuman pembalasan)”. (Riwayat Muslim)

Daripada hadis ini, kita boleh mengambil pedoman bahawa anak yang dilahirkan secara luar nikah atau disebabkan oleh perzinaan, maka ia dinasabkan kepada ibunya.  Sementara bapa iaitu penzina tidak mendapat apa-apa hak.

Panel hakim Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan sepatutnya melihat kepada kesan dari sudut agama Islam apabila menyandarkan keputusan mereka kepada peruntukan Seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Mereka tidak boleh samakan hak anak orang bukan Islam dengan anak orang Islam kerana Islam mempunyai perundangan khas bersabit dengan urusan perkahwinan, pewarisan pusaka dan lain-lain.

Jika ditinjau kesan dari sudut hukum, umpamanya dalam kes harta pusaka, seseorang anak tak sah taraf tidak boleh sama sekali mewarisi harta pusaka orang yang menyebabkan kelahirannya iaitu bapanya yang tidak sah taraf kerana beliau bukan ahli waris. Begitu juga sebaliknya bapa biologi tersebut tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya. Begitulah juga dalam soal perwalian, lelaki yang menyetubuhi ibu kepada anak tak sah taraf sebelum akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan perempuan tersebut, tetap tidak sah menjadi wali kepada anak tak sah taraf.

Kesan-kesan sebegini perlu dicermati demi menjaga nama baik dan hak keadilan kepada anak tak sah taraf. Pada dasarnya, daripada sudut agama dan undang-undang anak tak sah taraf sememangnya mendapat perlindungan sepenuhnya. Masyarakat pula hendaklah memberi pertimbangan yang adil terhadap kedudukan mereka supaya segala tekanan yang sering menghantui hidup mereka terhapus. Dengan itu, mereka mampu menjadi insan yang berguna dan dapat berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.

Membendung keadaan yang dibimbangi tersebut, DUPP bersetuju dengan kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara melalui Ketua Pengarahnya bertarikh 28 Julai 2017. Kenyataan tersebut menyatakan bahawa pelaksanaan semasa berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam diteruskan seperti biasa selari dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

MOHD ASRI BIN MAT DAUD
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/7/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook73Share on Google+0Tweet about this on TwitterPrint this page

Add Comment