Isu TH: Golongan agama tidak boleh diam diri

SHAH ALAM – Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata sekiranya dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat tiga pegawai kanan Tabung Haji (TH) yang terlibat secara langsung dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) maka cara terbaik adalah mereka perlu diadili dan dibicarakan.

Katanya jalan terbaik adalah membawa mereka ke mahkamah, dan bukan sekadar didesak untuk meletakan jawatan.

“Jika apa yang tersebar luas ini berasas, ia amat mendukacitakan. Mereka semua yang terlibat , tidak memadai sekadar meletakkan jawatan, sebaliknya hendaklah dibawa ke mahkamah pengadilan. Satu perbicaraan yang mengembalikan hak rakyat jelata hendaklah dilaksanakan.

“Golongan agama tidak boleh berdiam diri. Di sinilah tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar mesti ditunaikan.

“TH menjadi salah satu dari lambang ekonomi umat Islam. Apa yang berlaku ini benar-benar boleh menjatuhkan maruah umat Islam dalam negara ini,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu sebuah portal mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya tiga pegawai kanan TH dikesan terlibat langsung dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang terpalit kontroversi berkaitan beban hutang.

Kelmarin, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di TRX milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman namun menafikan pembelian Signature Tower melibatkan kos RM 578 juta.

Mengulas lanjut, Asri merakamkan ucapan terima kasih di atas suara kebimbangan pemimpin negara berkenaan isu ini.

“Kita berterima kasih kepada beberapa pemimpin negara yang sudah menyatakan kebimbangan mereka.

“Moga satu siasatan telus yang dapat membawa sesiapa yang khianat terhadap amanah rakyat ini ke muka pengadilan,” katanya.

— Sinar Harian

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment