KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Kelantan menjalinkan bekerjasama dengan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, Pengkalan Chepa bagi menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984.
Pengarahnya, Datuk Zahari Ibrahim berkata, usahasama tersebut dilaksanakan selaras konsep National Blue Ocean Strategy (NBOS) bermula 13 Januari lalu.
“Sekaligus bagi mengawal aktiviti pencerobohan Hutan Simpan Kekal dan membanteras pembalakan haram di Kelantan.
“Termasuk operasi beberapa kawasan hitam yang dikenal pasti kawasan kilang haram yang melakukan pembalakan haram,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya hasil Operasi Bersepadu selama seminggu, beberapa kejayaan awal diperolehi iaitu lima kes yang melibatkan tangkapan seramai enam orang.
Ia melibatkan empat kes pencerobohan Hutan Simpan Ulu Galas dan satu kes kilang haram yang disiasat di bawah Enakmen Perhutanan Negara 1984.
Selain itu katanya, melaksanakan penguatkuasaan membuka semula sekatan laluan lori balak (blockade) semasa Operasi Penguatkuasaan Perhutanan pada 23 Januari lalu.
“Langkah ini merupakan susulan tindakan segelintir Orang Asal enggan mematuhi arahan Jabatan Perhutanan yang dikeluarkan 29 November lalu,” ujarnya.
Menurutnya pada operasi Isnin lepas di Hutan Simpan Balah, melibatkan 133 pegawai serta kakitangan menahan lima Orang Asal yang disyaki menjadi dalang. – HARAKAHDAILY 24/1/2017