Jadi pengeluar produk sarang burung

imageGUA MUSANG – Gua Musang bakal menjadi pengeluar utama dalam pasaran produk berasaskan sarang burung walit.

Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff berkata, langkah ini diambil berikutan kemampuan 300 pemilik sarang burung walit di daerah ini mengeluarkan hampir dua tan metrik sebulan.

“Melihat kemampuan mereka dalam pengeluaran, kita merangka strategi jualan dalam memasarkan produk untuk menjana pendapatan pemilik.

“Perkara itu sudah mendapat persetujuan pemilik Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Gua Musang dan Persatuan Walit Chiku.

“Pun begitu, sekretariat membabitkan persatuan berkenaan dengan Pejabat Tanah dan Jajahan dan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) perlu ditubuhkan terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Tuan Zainal Abidin selaku Yang Dipertua MDGM, penubuhan sekretariat itu penting bagi melancarkan proses pengeluaran makanan berasaskan sarang burung walit yang sekali gus mampu menjadi produk pelancongan.

“Banyak lagi perkara perlu dibincangkan terutama sewa tapak pembinaan bangunan sarang burung walit dan pembinaan kilang pemprosesan.

“Sebagai langkah percubaan, produk yang akan diperkenalkan berasaskan sarang burung walit ialah ‘Jus Emas Langit’ dan penjualannya bermula bulan ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun banyak sarang burung walit dijual ke pasaran luar termasuk China, pasaran dalam negara juga mendapat sambutan dan bakal menarik pelancong ke daerah ini.

“Kita juga mahu produk sarang burung walit dijadikan jus minuman segera dan produk yang dicampurkan dalam makanan lain.

“Dengan cara ini, kita akan mendapat permintaan segera dan harga jualan juga mungkin lebih murah berbanding jus yang disediakan dalam botol,” katanya pada majlis dialog dengan Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Gua Musang dan Persatuan Walit Chiku di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Pedagang Sarang Burung Walit Gua Musang Hisham Mustapha dan Pengerusi Pesatuan Walit Chiku, Saufi@Mat Yusof Che Daud.

-sinar harian

(Visited 37 times, 1 visits today)

Add Comment