,PASIR MAS – Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mahu golongan asnaf yang menerima bantuan zakat, menjaga hubungan dengan ALLAH SWT.
Yang Dipertuanya, Dr Nik Azlan Abd Hadi berkata, langkah itu bagi memastikan mereka sentiasa diberikan rahmat dan perlindungan daripada sebarang musibah.
“Saya lihat perkara ini perlu diberikan keutamaan. Bila kita jaga hubungan dengan ALLAH, nescaya ALLAH akan jaga dan lindungi kita semua. Sebab itulah, Islam selalu menggalakkan kita berdoa supaya dijauhkan daripada kekufuran, kefakiran dan azab kubur sebagai amalan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa melawat Zabedah Hashim, 54, yang koma hampir setahun di Kampung Pengkalan Batu, semalam.
Dalam lawatan itu, Maik turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Zabedah.
Lawatan itu dibuat susulan laporan Sinar Harian mengenai seorang anak yang sanggup mengorbankan masa depan dengan tidak hadir ke sekolah semata-mata mahu menjaga ibunya yang koma.
Mohammad Idham Mohd Noor, 17, memaklumkan, dia terpaksa berbuat demikian kerana memikirkan nasib ibu dan masa depan adik berusia 12 tahun yang juga masih bersekolah.
Menurutnya, dia hanya bersekolah selama tiga hari dalam seminggu apabila bapa saudaranya, Amran Hashim, 51, tidak keluar bekerja.
Dalam perkembangan lain, Nik Azlan berkata, pihaknya setakat ini menerima sumbangan zakat berjumlah RM104 juta.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diagihkan kepada golongan asnaf bagi membantu meringankan beban mereka. – sinar harian