Jahaeik lupus al-Quran di perairan Tok Bali

PASIR PUTEH – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jahaeik) telah melupuskan lebih 100 tan al-Quran di perairan Tok Bali, Pasir Puteh.

Pengarahnya, Datuk Che Mohd Jusoh berkata, al-Quran yang dilupuskan itu adalah al-Quran rosak semasa banjir pada 2014.

Beliau berkata, hari ini 2.4 tan al-Quran dilupuskan dan pihaknya menganggap tugas pelupusan selesai dalam usaha memastikan al-Quran rosak dapat disemadikan secara terhormat mengikut ketetapan syarak.

 “Kita mengambil tanggungjawab dengan menghimpun al-Quran rosak akibat hanyut banjir pada Disember 2014 bagi memastikan al-Quran terpelihara.
“Kita juga memohon supaya umat di negeri ini mengambil usaha bagi memastikan mana-mana al-Quran rosak, hendaklah diambil dan dihantar ke pejabat agama masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian selepas Program Pelupusan Abu Al-Quran dan Lawatan Tinjauan ke Taman Tukun Keputeraan 2017, di Tok Bali, hari ini.

Program pelupusan abu al-Quran disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, isterinya, Datin Tengku Nor Hayati  Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan anakandanya, Tengku Abdul Rahman Tengku Mohamad Rizam.

Proses pelupusan abu al-Quran itu dijayakan oleh beberapa agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) diketuai Pengarah Daerah Maritim 10 Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Che Mohd Rahim berkata, lebih 100 tan al-Quran diterima dan lebih dua tahun pihaknya menguruskan pembakaran kitab suci itu.

“Kita bernasib baik dan menghargai usaha apabila Johor mengambil 19 tan al-Quran, Terengganu sebanyak 20 tan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu kita.

“Kita sudah membuat pembakaran dan  abu al-Quran sudah ditenggelamkan di lokasi perairan Tok Bali oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada tahun lepas,” katanya.- SINAR HARIAN 7 OGOS 2017

(Visited 7 times, 1 visits today)

Add Comment