KOTA BHARU: Sebelum ini pembangkang di negeri ini sering mempertikaikan kelewatan kerajaan negeri memberi geran hak milik tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Isu itu sering diasak Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, Datuk Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah) dan Datuk Ramzi Abdul Rahman (Dabong) setiap kali persidangan negeri berlangsung.
Sedangkan penyelesaian hak milik kepada Kesedar terbantut memandangkan agensi itu sebelum ini tidak melantik wakil kerajaan negeri dalam lembaga pengarahnya sebagaimana termaktub dalam Akta Kesedar.
Ekoran desakan kerajaan negeri Kesedar akhirnya melantik tiga wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Kesedar.
Wakil terbabit iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, anggota Exco Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Datuk Nazran Muhammad.
Berikutan kerjasama itu hari ini kerajaan negeri menyampaikan geran hak milik tanah kepada Kesedar yang disampaikan Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Pada majlis itu juga Kesedar menjelaskan bayaran premium tanah sebanyak RM12 juta kepada kerajaan negeri.
Che Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau berkata usaha tersebut merupakan hasil kerjasama kerajaan negeri bagi kepentingan rakyat.
“Usaha ini bagi menyelesaikan semua masalah rakyat yang berbangkit dan kebaikan juga untuk rakyat,” katanya.
Manakala penyerahan ‘mock cek’ Kesedar dilakukan Nozula yang juga Timbalan Pengerusi agensi pembangunan terbabit.
Kesedar yang merupakan lembaga kemajuan wilayah ditubuhkan pada 2 Mac 1978 bertujuan mengimbangi komposisi penduduk antara Kelantan selatan dan utara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Sehingga sekarang kawasan ladang yang dimajukan agensi itu mencecah lebih 20,000 hektar dan memberi manfaat kepada 11,000 keluarga peneroka. – HARAKAHDAILY 27/12/2016