JANJI MENTERI SUDAH LAMA ‘SEMBAH BUMI’

Ahmad Noordin Abdullah meninjau pengoperasian kilang sawit.

JELI: Sebelum ini bekas menteri pernah berjanji mewujudkan kilang Proton di sini, bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Papan tanda kilang tersebut sudah lama menyembah bumi, dan sekarang lokasi itu tidak jauh dari Politeknik Jeli bertukar menjadi rumah kedai dibina pemaju swasta.

Sebaliknya kerajaan negeri biarpun tidak menjanjikan membina kilang untuk menyediakan peluang pekerjaan, sehingga sekarang terdapat dua kilang yang menawarkan peluang kerjaya untuk penduduk tempatan.

Kilang Sihhat-Afiat Sdn Bhd yang mengeluarkan air mineral jenama EAU Choice terletak di Batu Melintang dimiliki Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memberi peluang penduduk tempatan mencari rezeki.

Kilang itu mengeluarkan air mineral semulajadi mula beroperasi pengeluaran produk bermula awal Disember 2012.

Pengeluarannya dengan kapasiti 20,000 hingga 60,000 botol sehari.

Dan pada Mac 2016 pula sebuah lagi kilang beroperasi di Jeli dengan menawarkan peluang kerja kepada hampir 80 penduduk tempatan.

Kilang Sawit Tapis milik Kumpulan Perladangan PKINK Bhd terletak di Kuala Balah memberi peluang bekerja sebagai operator kilang sawit.

Pengurus Besar Kilang Sawit Tapis Ahmad Noordin Abdullah berkata, seramai 53 penduduk tempatan bekerja di kilang sawit itu sekarang.

“Mereka berpeluang bekerja di bahagian kilang termasuk tugas sebagai operator mesin, juruteknik dan pelbagai lagi.

“Anak-anak muda tempatan tidak perlu lagi berhijrah ke luar Kelantan bagi mencari rezeki kerana peluang kerjaya disediakan di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kilang Sawit Tapis berharga RM43 juta itu dilengkapi teknologi moden mampu memproses sehingga 45 tan metrik buah sawit dalam tempoh sejam.

Mohd Fatihi Mat Salleh, 24 dari Bukit Jering bersyukur kerana ada peluang pekerjaan disediakan kerajaan negeri kepada penduduk tempatan.

“Ramai anak muda bekerja di sini. Kami tidak perlu lagi hijrah ke luar Kelantan bagi mencari rezeki,” katanya yang berkhidmat di Kilang Sawit Tapis sejak 2016. – HARAKAHDAILY 5/8/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/12309-janji-menteri-sudah-lama-sembah-bumi

Simpang ke Kilang Sawit Tapis di Kuala Balah.
Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment