Jawapan Datuk Anuar Tan Abdullah kepada Husam

anuar-tanSEPERTI janji saya di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas semasa sesi penggulungan, bahawa saya akan menjawab semua persoalan mengelirukan yang diungkitkan oleh YB Dato’ Husam Musa. Saya ingin membuat teguran dan memberi peringatan kepada YB Dato’ Husam Musa  bahawa tidak wajar beliau mengungkit dasar, polisi dan semua perkara yang telah diluluskan di zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana Almarhum telah meninggalkan kita, telah berada di alam yang lain dan tidak berpeluang untuk membela diri lagi.

Saya cukup sedih kerana saya baru menegur beliau di dalam Sidang DUN (27 Oktober 2016 pada hari Khamis), namun pada keesokan harinya, beliau di dalam ucapannya (boleh rujuk pada video pautan di laman facebook Hashim Omar bertarikh 29 Oktober 2016 dan 30 Oktober 2016) sekali lagi mengkritik program ladang rakyat yang dilaksanakan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk membantu rakyat miskin. YB Dato’ Husam membuat perbandingan di mana beliau menyatakan lebih baik menanam sayur kangkung kerana hasilnya lebih lumayan berbanding daripada Almarhum memberi tanah yang luas kepada pelabur untuk menanam kelapa sawit yang menghasilkan pendapatan yang begitu sedikit.

Pada saya, ini merupakan satu kenyataan penghinaan yang tidak wajar ke atas program Almarhum di samping beliau meludah ke atas muka sendiri kerana ia merupakan satu program yang dipersetujui oleh semua Exco secara konsensus (sebulat suara dan ijma’), termasuklah YB Dato’ Husam sendiri bersetuju.

Untuk makluman semua, konsep mesyuarat yang diamalkan di zaman Almarhum ialah secara konsensus. Setiap ahli boleh memberi pandangan masing-masing ke atas satu-satu isu, namun selepas Almarhum membuat keputusan, semua ahli wajib memberi sokongan penuh ke atas perkara itu secara collective responsibility di mana semua ahli perlu akur dan sokong ke atas keputusan yang dicapai.

Sama juga di dalam program TLC yang telah ditimbulkan di dalam Sidang DUN baru-baru ini, apa jua pandangan yang diutarakan di dalam mesyuarat itu, semua ahli mesyuarat wajib menyokong dan mendokong keputusan tersebut secara sebulat suara dan bertanggungjawab secara bersama selepas keputusan telah dibuat oleh Almarhum. Itulah prinsip syura yang diamalkan sejak zaman Almarhum sehingga ke hari ini.

Saya telah meminta pegawai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk menyemak penyata rasmi bagi ucapan rasmi semasa YB Dato’ Husam menjadi Exco (2004-2013) mengenai apa pendiriannya tentang kedua-dua program penting ini kerana ia pernah ditimbulkan di dalam dewan semasa itu.

Adakah YB Dato’ Husam bantah, menyokong atau berdiam diri di dalam isu ini semasa ia ditimbulkan dan dibahaskan di dalam dewan semasa tempoh YB Dato’ Husam menjadi Exco Kerajaan Negeri?

Jadi, saya ingin memohon kepada semua ahli PAS, penyokong PAS dan rakyat yang cintakan kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya bersabar dan nantikan keputusan semakan ke atas penyata rasmi untuk mengetahui ucapan rasmi YB Dato’ Husam tentang isu TLC dan Ladang Rakyat ketika beliau menjadi Exco Kerajaan.

DATUK ANUAR TAN ABDULLAH
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan.
31 Oktober 2016M/30 Muharram 1438H – HARAKAHDAILY 31/10/2016

(Visited 38 times, 4 visits today)

Add Comment