TANAH MERAH – Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan mendengar taklimat mengenai projek pembinaan persimpangan bertingkat di atas lintasan kereta api di bandar Tanah Merah sempena keberangkatan baginda ke jajahan ini, kelmarin.

Tengku Muhammad Fa-iz Petra tiba pada jam 1.23 tengah hari sebelum itu berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Ismail Petra Tanah Merah, menyampaikan zakat kepada 100 asnaf dan berangkat ke Jamuan Rakyat.

Sembah taklimat kepada baginda disampaikan Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Unit Projek Khas Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Nik Burhanuddin Nik Yusoff.

Taklimat kira-kira 20 minit itu merangkumi latar belakang projek, objektif, skop kerja, maklumat kontrak dan diakhiri dengan baginda berkenan melihat model persimpangan bertingkat berkenaan.

Projek pembinaan persimpangan bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di bandar itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Ogos 2013.

Projek pembinaan jajaran sejauh 1.1 kilometer melintasi bandar ini termasuk lintasan kereta api dengan kos kira-kira RM153 juta itu bermula Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada Ogos 2019.

Kerja fizikal di tapak projek itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat apabila masalah pengambilan tanah terutama sedikit tanah Masjid Ismail Petra Tanah Merah selesai.

Turut hadir mendengar taklimat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz selaku pemimpin bertanggungjawab memohon projek berkenaan.

Ikmal Hisham ketika ditemui media berkata, beliau merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra kerana berkenan mencemar duli dan mendengar taklimat projek tersebut.

Katanya, keprihatinan baginda terhadap kepentingan rakyat terserlah apabila sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Maik) berkenan membenarkan pengambilan sedikit tanah masjid dalam projek itu.

“Keberangkatan Tuanku Pemangku Raja Kelantan melambangkan sikap baginda yang mesra rakyat dan menzahirkan keprihatinan baginda kerana projek ini sememangnya dinantikan rakyat terutama warga Tanah Merah.

“Persimpangan bertingkat ini pasti banyak memberi rahmat dan kemudahan yang besar untuk rakyat. Terima kasih juga kepada perdana menteri kerana ini antara projek terbesar di Kelantan dalam Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya.

– Sinar Harian