Jemaah haji terkesan pemergian Harun Din

haron1MAKKAH: Berita kehilangan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din baru-baru ini turut terkesan kepada jemaah haji di sini.

Ramai terkejut setelah mendapat maklumat mengenainya melalui media sosial pada hari kematiannya.

Datuk Dr Haron Din menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Stanford University, San Francisco, kembali ke rahmatullah jam 10.10 pagi (waktu Malaysia), Jumaat lalu.

Jenazah Almarhum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat selepas solat Jumaat waktu tempatan.

Mereka juga tersentuh hati membaca catatan seorang anak Allahyarham yang begitu menghibakan.

Che Abdullah dari Peringat Kelantan pada awalnya tidak yakin dengan berita tersebut memandangkan sebelum ini sudah acap kali diviralkan info palsu.

Bagaimanapun katanya selepas diberitahu jemaah haji lain barulah beliau yakin kesahihannya.

“Kematian Dr Harun Din mengejutkan kerana sebelum itu tidak kedengaran dia sakit tenat.

“Bagaimanapun takdir mengatasi segala-galanya di mana tanah kuburnya di negara orang,” katanya.

Mohd Saud dari Kota Bharu juga memberitahu terkejut apabila membaca berita kematian Mursyidul PAS di media sosial.

Menurutnya banyak laman berita dan sosial memaparkan berita sedih tersebut boleh dibaca biar pun berada di Makkah.

Beliau yang juga bekas kakitangan Jabatan Penyiaran berkata setiap isu yang berlaku di tanah air boleh diikuti di sini.

Begitu juga dengan kejatuhan nilai RM amat terkesan kepada jemaah haji di Makkah.

Kata beliau kerajaan tidak boleh menyembunyikan isu tersebut kerana jemaah haji Malaysia mengalaminya sendiri.

“Misalnya kalau ditukar RM1,000 kita hanya dapat sekitar SR900. Malah ada pengurup wang di sini enggan menerima not RM10 untuk ditukar kepada SR,” ujarnya.

Isu kejatuhan nilai RM sebelum ini dipapar laman berita ini namun cuba dinafikan pemimpin Umno dengan menganggap sebagai gimik media pembangkang.

Mohd berkata kerajaan Malaysia tidak boleh menafikan keadaan sebenar yang berlaku kerana ia berlaku di hadapan mata sekarang.

Wan Tek dari Shah Alam pula mendakwa ada peniaga di sempadan sebelah Thailand tidak mahu menerima RM untuk urus niaga.

Sedangkan katanya sebelum ini rakyat Malaysia tidak menghadapi masalah membeli menggunakan RM. – HARAKAHDAILY 20/9/2016

(Visited 4 times, 1 visits today)

Add Comment