Jemputan Exco lancar buku dibatal saat akhir

KOTA BHARU: Sejak 1990 bidang pendidikan di Kelantan mulai diserap unsur-unsur politik, lebih-lebih lagi selepas pelantikan pengarah Jabatan Pedidikan Negeri (JPN) kalangan pegawai tempatan.

Pernah sebelum ini guru-guru diarah menyambut kedatangan Perdana Menteri ketika berkunjung ke Kelantan.

Lebih mengejutkan apabila guru-guru mesti menandatangani buku kehadiran pada program berkenaan yang diadakan di Maktab Sultan Ismail dekat sini.

Lebih memeritkan lagi apabila guru-guru kelas fardhu ain dan al Quran (Kafa) pula kerap kali menjadi sasaran untuk memenuhi program anjuran Umno.

Malah pelantikan mereka juga perlu mendapat sokongan Ketua Bahagian Umno.

Politik pendidikan di Kelantan tidak terhenti di situ, sebaliknya baru-baru ini jemputan terhadap anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan melancarkan sebuah buku di Pesta Buku Kelantan difahamkan dibatal di saat akhir.

Pegawai khas Exco terbabit Borhanuddin Ahmad berkata pihak penerbit buku tersebut menghantar surat jemputan kepada Exco bagi melancarkan buku berkenaan sempena Pesta Buku.

Bagaimanapun katanya pada saat akhir penerbit buku terbabit membatalkan jemputan kerana didakwa ada campurtangan pihak tertentu.

“Penerbit buku tersebut memohon maaf kepada Exco di atas kesulitan yang berlaku di saat-saat akhir. Sedangkan Dr Mohamed Fadzli juga sudah bersedia untuk hadir.

“Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi pun premis tempat pesta buku itu milik Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam,” katanya.

Pesta Buku Kelantan 2016 dianjurkan JPN dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan dengan kerjasama SMO Bookstores diadakan pa da 28 Mac hingga 3 April lepas.  – HARAKAHDAILY 7/4/2016

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment