Jom meriahkan Karnival Ekonomi Anak Muda 2016

PROGRAM Karnival Ekonomi Anak Muda 2016 dilancarkan secara rasmi malam tadi oleh Datuk Haji Che Abdullah Mat Nawi, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Ia dirasmikan serentak dengan acara pertama dalam karnival ini iaitu Kejohanan Muay Thai yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda Pemuda PAS Negeri Kelantan bersama Persatuan Muay Negeri Kelantan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Zaki Zakaria, Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang juga merangkap Pengarah Karnival serta Nazman Che Iberahim, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Manakala Persatuan Muay Negeri Kelantan diwakili Presiden mereka iaitu Datuk Dr Zulkepli Mohamad dan barisan kepimpinan utama persatuan tersebut.

Lebih 3,000 hadirin menyaksikan kejohanan tersebut yang menampilkan 5 regu hebat dari kelab kelab muay sekitar negeri Kelantan. Datuk Che Abdullah Mat Nawi juga dalam ucapan perasmiannya memuji anak anak muda yang menjadi majoriti besar kehadiran pada malam tadi atas semangat dan sokongan yang diberikan kepada program anjuran PAS melalui Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Program ini akan berlangsung selama lima hari iaitu pada malam 28 Disember pula akan diadakan persembahan Dikir Barat AllStarz, kemudian malam selepasnya pula Ceramah Mega Anak Muda Pertahan Kelantan akan mengambil tempat di lokasi yang sama. Bual bicara dan Konsert bersama Ijam Medicine pula akan diadakan pada malam 30.

Acara kemuncak adalah pada 31 Disember iaitu Kuliah Ustaz Azhar Idrus akan mengambil tempat di perkarangan stadium ini. Acara lain yang diadakan pada sebelah petang adalah Pertandingan Mewarna, Konvoi ARC, Persembahan Silat serta Simfoni Gendang Antara Kaum. Gerai jualan dan makanan turut disediakan.sepanjang berlangsungnya program ini. – HARAKAHDAILY 28/12/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment