SENTUHAN HIDAYAH MENERUSI IBRAH PARA ANBIYA’ DAN SOLEHIN MELALUI JUZ 3⃣
“YAKIN DENGAN KUASA KUN FAYAKUN”
Kekuatan diri manusia diperolehi sejauhmana keyakinannya terhadap Allah SWT dan dirinya sendiri. Kuasa keyakinan mampu memberi ketenangan yang sangat menakjubkan. Begitulah perihal yang terjadi ke atas Maryam A.S setelah beliau diberi perkhabaran gembira menerusi informasi Malaikat bahawa beliau akan melahirkan Nabi Isa A.S. firman Allah SWT:
إِذۡ قَالَتِ ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ یَـٰمَرۡیَمُ إِنَّ ٱللَّهَ یُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةࣲ مِّنۡهُ ٱسۡمُهُ ٱلۡمَسِیحُ عِیسَى ٱبۡنُ مَرۡیَمَ وَجِیهࣰا فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ وَمِنَ ٱلۡمُقَرَّبِینَ
“(Ingatlah) ketika Malaikat berkata: Wahai Maryam, bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan dia juga daripada orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).” [Ali-Imran: 45]
Maryam A.S kehairanan apabila memikirkan berita berkenaan kerana melalui kudrat akal pemikiran manusia adalah mustahil seorang perempuan yang tidak mempunyai suami dapat melahirkan seorang bayi. Namun, dengan kenyataan Ilahi yang apabila menghendaki sesuatu perkara, ia pasti terjadi dengan kuasa Kun Fayakun, Maryam A.S menjadi yakin dan tenang. Allah SWT merakamkan hal ini melalui firman-Nya:
قَالَتۡ رَبِّ أَنَّىٰ یَكُونُ لِی وَلَدࣱ وَلَمۡ یَمۡسَسۡنِی بَشَرࣱۖ قَالَ كَذَ ٰلِكِ ٱللَّهُ یَخۡلُقُ مَا یَشَاۤءُۚ إِذَا قَضَىٰۤ أَمۡرࣰا فَإِنَّمَا یَقُولُ لَهُۥ كُن فَیَكُونُ
“Maryam berkata: Wahai Tuhanku, bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun? Allah berfirman; Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: Jadilah engkau, lalu menjadilah ia.” [Ali-Imran: 47]
Keyakinan terhadap kuasa Allah SWT wajib dimiliki oleh seluruh umat Islam pada hari ini. Zaman jahiliah moden kini memaparkan ketandusan keyakinan diri apatah lagi hilangnya kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Ini disebabkan pelbagai kemewahan dunia, jawatan serta kecanggihan alat perhubungan dan telekomunikasi yang menjadikan manusia terlalu bergantung kepada kebendaan. Manusia hilang integriti, prestasi menjunam bahkan lebih teruk lagi ramai juga yang menyembah kuasa manusia.
Keyakinan sepenuhnya kepada kuasa Allah SWT boleh dibina kembali dalam diri umat Islam apabila kita sentiasa berdampingan dengan Al-Quran melalui bacaan, penghayatan serta beramal dengan tuntutannya. Perbanyakkan bacaan Al-Quran sempena Ramadhan Al-Mubarak ini dan berpada-padalah dengan pembacaan di Whatsapp, Facebook serta Instagram.
USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
03 Ramadhan 1440H
Ikuti juga info semasa Menteri Besar Kelantan di:
?FB MB:
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
?Twitter MB:
https://www.twitter.com/DatoAhmadYakob
?IG MB:
https://www.instagram.com/DatoAhmadYakob
?Telegram MB:
https://www.t.me/DatoAhmadYakob
⭕Aplikasi MB: http://nak.la/MBKelantan
Sumber: https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/1016749565181827