JUZ 7 “Guna Akal Berlandaskan Syariat”

SENTUHAN HIDAYAH MENERUSI IBRAH PARA ANBIYA’ DAN SOLEHIN MELALUI JUZ 7⃣

“GUNA AKAL BERLANDASKAN SYARIAT”

Al-Quran telah merakamkan kisah dakwah Nabi Ibrahim A.S menyeru masyarakat negerinya termasuk bapanya agar menyembah Allah SWT. Nabi Ibrahim A.S terpaksa bertegas terhadap bapanya demi menyelamatkan aqidah dengan memperingatkannya bahawa sembahan berhala adalah suatu kesesatan yang nyata. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَ ٰ⁠هِیمُ لِأَبِیهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصۡنَامًا ءَالِهَةً إِنِّیۤ أَرَىٰكَ وَقَوۡمَكَ فِی ضَلَـٰلࣲ مُّبِینࣲ

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Azar: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai Tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. [Al-An’am: 74]

Nabi Ibrahim A.S seawal usianya mulai mencari kebenaran. Sehinggalah ketika keyakinan Nabi Ibrahim A.S kepada Allah benar-benar meresap dijiwanya, baginda mulailah mengajak orang-orang di sekitarnya untuk meninggalkan penyembahan berhala yang tidak memiliki kekuatan dan memberi mudharat.

Ketika baginda memerhatikan alam semesta dan mendapati bahawa tidak ada suatupun yang boleh dianggap Tuhan, akal fikirannya terfokus kepada suatu kuasa yang Maha Agung yang hanya layak disembah. Adapun semua perkara yang ada di alam semesta, walaupun dilihat pada zahirnya berkuasa namun berakhir dengan lenyapnya kuasa tersebut. Allah SWT merakamkan penaakulan akal Nabi Ibrahim A.S dalam mencari kebenaran melalui firman-Nya:

فَلَمَّا جَنَّ عَلَیۡهِ ٱلَّیۡلُ رَءَا كَوۡكَبࣰاۖ قَالَ هَـٰذَا رَبِّیۖ فَلَمَّاۤ أَفَلَ قَالَ لَاۤ أُحِبُّ ٱلۡـَٔافِلِینَ. فَلَمَّا رَءَا ٱلۡقَمَرَ بَازِغࣰا قَالَ هَـٰذَا رَبِّیۖ فَلَمَّاۤ أَفَلَ قَالَ لَىِٕن لَّمۡ یَهۡدِنِی رَبِّی لَأَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلضَّاۤلِّینَ. فَلَمَّا رَءَا ٱلشَّمۡسَ بَازِغَةࣰ قَالَ هَـٰذَا رَبِّی هَـٰذَاۤ أَكۡبَرُۖ فَلَمَّاۤ أَفَلَتۡ قَالَ یَـٰقَوۡمِ إِنِّی بَرِیۤءࣱ مِّمَّا تُشۡرِكُونَ

“Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit, dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku daripada kaum yang sesat. Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit, berkatalah dia: Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sekutukan Allah dengannya”. [Al-An’am: 76-78]

Jelas disini bahawa akal memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu kebenaran. Dengan demikian, kita dapati dalam perbahasan ilmu fiqh ada dinyatakan salah satu syarat mukallaf ialah mempunyai akal yang sihat. Tanpa akal yang sihat, manusia hidup tanpa disiplin dan mudah terjebak dengan anasir kesesatan.

Pada hari ini, berlakunya penyebaran doktrin dan fahaman yang mengelirukan juga disebabkan oleh penggunaan akal manusia yang tidak diolah dengan ilmu dan panduan wahyu. Al-Quran dan Al-Sunnah mesti dijadikan sumber asas dalam berfikir supaya tidak berlaku penyelewengan dalam aqidah dan Syariat.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
07 Ramadhan 1440H

Ikuti juga info semasa Menteri Besar Kelantan di:

📳FB MB:
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob

📹Twitter MB:
https://www.twitter.com/DatoAhmadYakob

🌐IG MB:
https://www.instagram.com/DatoAhmadYakob

📱Telegram MB:
https://www.t.me/DatoAhmadYakob

Aplikasi MB: http://nak.la/MBKelantan

Sumber: https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/1019104341613016

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment