JUZ 8 “Manusia Syaitani Dibulan Ramadhan”

SENTUHAN HIDAYAH MENERUSI IBRAH PARA ANBIYA’ DAN SOLEHIN MELALUI JUZ 8⃣

“MANUSIA SYAITANI DI BULAN RAMADHAN”

Allah SWT telah memaparkan kisah perseteruan syaitan dengan manusia sejak awal penciptaan Nabi Adam A.S. ketika Allah SWT memerintahkan para Malaikat sujud kepada Adam, kesemua sujud melainkan iblis yang takabbur akibat penciptaannya dianggap lebih mulia daripada Adam A.S. firman Allah SWT:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ

“Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekat kamu daripada sujud ketika Aku perintahkan kamu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku daripada api sedang dia Engkau jadikan daripada tanah.” [Al-A’raf: 12]

Sejak peristiwa itu, Iblis mulai kufur dan diperintahkan keluar dari Syurga lalu Iblis memohon tempoh sehingga hari kiamat untuk menyesatkan anak cucu Adam. Dendam kesumat Iblis terpahat dalam dirinya dengan menyalahkan kudrat Allah dan berjanji akan menghasut manusia sehingga turut kufur dan tersungkur daripada kebenaran. Firman Allah SWT:

قَالَ فَبِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَ ٰ⁠طَكَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ. ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka daripada mengikuti jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, daripada hadapan mereka serta daripada belakang mereka, kanan dan kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. [Al-A’raf: 16-17]

Walaupun Syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan, namun terdapat manusia yang tidak meninggalkan perangai Syaitan dan apa yang dibisikkan oleh Syaitan melekat dihati mereka. Lalu manusia Syaitani ini akan mengambil alih tugas Syaitan sehingga terjadinya pada bulan yang mulia ini pelbagai jenayah, kerosakan dan kemungkaran. Akibat sikap takabbur, hati manusia mula membatu dan sangat sukar mendengar nasihat orang lain. Mereka akan berbuat sesuka hati tanpa lagi menaruh kegerunan kepada Allah SWT.

Walaupun begitu, perangai Manusia Syaitani masih boleh dirawat dengan kembali bertaubat kepada Allah SWT, memaafkan orang lain serta memohon kemaafan daripada orang yang dianiaya, kembali merujuk Al-Quran dan Hadith serta meninggalkan segala mazmumah diri. Bulan Ramadhan masih membuka pintu maghfirah kepada orang-orang yang telah terlanjur dan menyediakan pelbagai peluang untuk menjadi Muslim Mukmin yang Muttaqin.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
08 Ramadhan 1440H

Ikuti juga info semasa Menteri Besar Kelantan di:

📳FB MB:
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob

📹Twitter MB:
https://www.twitter.com/DatoAhmadYakob

🌐IG MB:
https://www.instagram.com/DatoAhmadYakob

📱Telegram MB:
https://www.t.me/DatoAhmadYakob

Aplikasi MB: http://nak.la/MBKelantan

Sumber: https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/1019660984890685

 

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment